Dompet elektronik boleh kurangkan jenayah curi, ragut

Eng Lai (kanan) menerima anak pokok daripada Pengurus KUED Enterprise Isharizat Ibrahim (dua dari kanan) sebagai simbolik perasmian program amal menanam 1,000 anak pokok sempena KUED 2019 hari ini.
Eng Lai (kanan) menerima anak pokok daripada Pengurus KUED Enterprise Isharizat Ibrahim (dua dari kanan) sebagai simbolik perasmian program amal menanam 1,000 anak pokok sempena KUED 2019 hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penggunaan teknologi tanpa tunai e-wallet menerusi pelbagai aplikasi yang wujud sebagai dompet elektronik mampu mengurangkan kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, selain itu pembelian secara 'cashless' menggunakan aplikasi My Smart Shopper (MSS) tanpa membawa wang tunai juga antara kaedah terbaik bagi pencegahan jenayah.

"Penggunaan aplikasi itu menerusi gajet pintar akan menjadikan peluang diragut, dicuri lebih minimum dan mereka tak perlu bimbang. Jadi saya lihat ia adalah salah satu cara yang efektif.

"Apa pun komuniti perlu sedar usaha membendung jenayah tidak boleh diletakkan 100 peratus pada pihak polis, namun perlu mempunyai kesedaran tinggi bagi mengelak berlakunya jenayah termasuk mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program amal menanam 1,000 anak pokok sempena Karnival Usahawan Era Digital (KUED) 2019 di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Eng Lai (tengah) bersama tetamu jemputan turut menanam anak pokok pada program itu.
Eng Lai (tengah) bersama tetamu jemputan turut menanam anak pokok pada program itu.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Rafee Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Ariffin.

Eng Lai berkata, pihaknya turut meletakkan unit Polis Pelancong di tempat tumpuan ramai seperti di Jonker Walk bagi memastikan keselamatan pelancong terjamin selain dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan unit kereta peronda polis (MPV) terutama di musim cuti persekolahan ini.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini kita nampak lambakan pelancong ke Melaka dengan melancong dalam suasana kondusif tanpa ada rasa bimbang dan sebagainya. Ia satu perkembangan yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menerima purata kira-kira 10 laporan daripada orang awam menerusi penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menyalurkan maklumat jenayah di sekeliling mereka.

"Kita akan sentiasa memberi galakan kepada orang ramai untuk menggunakan VSP dan segala aduan atau laporan yang diterima terus disalurkan ke bilik kawalan.

"Jika kes kecemasan anggota unit URB dan MPV akan digerakan segera untuk memberikan bantuan manakala seperti kes pelacuran atau pengedaran dadah kita perlukan risikan dan siasatan lanjut.

"Bagaimanapun ia akan mengambil masa tidak lebih seminggu untuk kita memberi maklum balas kepada pengadu," katanya.

Pada program itu, Eng Lai turut menerima kira-kira1,000 batang anak pokok daripada KUED Enterprise untuk ditanam di IPK Melaka, tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 36 balai polis di negeri ini.