Lebih 4,000 peserta sertai Tanah Merah Flayover International Ride

Tengku Fa-iz berkenan merasmikan pelepasan peserta sempena kayuhan TM Flyover International Ride hari ini.
A
A

TANAH MERAH - Lebih 4,000 peserta mengambil bahagian dalam acara Tanah Merah Flayover International Ride di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, di sini hari ini.

Peserta berbasikal yang melibatkan dua ketagori iaitu 90 dan 30 kilometer itu dilepaskan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Tanah Merah Flyover International Ride melibatkan peserta terdiri daripada penduduk tempatan dan peserta dari Thailand serta Singapura.

Program kali ini juga telah memecahkan rekod negeri bagi penyertaan paling ramai sepanjang penganjuran kayuhan basikal 'fun ride' di pantai timur.

Acara turut dimeriahkan dengan pancaragam kanak-kanak di samping diserikan dengan kehadiran pasangan pelakon tempatan, Linda Rafar dan suaminya, Syed Aiman.

Pengarah Urusan Mahsari Group, Wan Rakemi Wan Zahari berkata, program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat bagi bergiat aktif di dalam program berbasikal di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

Wan Rakemi berkata, program ini diharap dapat memperkenalkan Persimpangan Bertingkat Tanah Merah kepada masyarakat luar serta mempromosikan serta menaikkan nama bandar Tanah Merah di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa.

"Program ini juga dianjurkan sempena menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke-62 dengan harapan dapat memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.

"Kita harap dengan usaha ini juga dapat melahirkan modal insan yang mampu bersaing untuk menjayakan wawasan negara ke arah negara yang terbilang dan sejahtera," katanya.

Acara sampingan juga turut menyerikan penganjuran tersebut iaitu bekwoh gulai kawah lembu, pasar karat, food truck, dan juga pertandingan ayam sorak.