ECRL agenda Sesi Libat Urus Penyediaan RMK12

Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) berlangsung di Wisma Sri Pahang di sini semalam. - Foto: FB Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUANTAN - Perbincangan berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Kuantan di rantau ASEAN dan Asia Pasifik antara agenda mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) berlangsung di Wisma Sri Pahang di sini semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataannya memaklumkan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kuantan berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pengangkutan dan logistik kepada Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Pelabuhan Kuantan serta kawasan-kawasan perindustrian di Pantai Timur bagi menambah nilai kepada projek ECRL.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah mengadakan sesi libat urus penyediaan RMK12 bersama Kerajaan Negeri Pahang yang menjadi negeri kesepuluh dalam siri sesi libat urus dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang dimulakan sejak 5 Julai lalu untuk tujuan tersebut.

“Sebagai negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang mempunyai potensi besar dalam meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara.

“Justeru usaha ini menjadi langkah pertama menstruktur semula ekonomi supaya kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kaum dan wilayah dapat dirapatkan dan manfaat pembangunan negeri dapat dinikmati oleh semua rakyat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang itu bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan direalisasikannya melalui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 merangkumi tahun 2018 hingga 2025.

Pelan itu juga menyasarkan pelaburan swasta berjumlah RM31 bilion yang bakal mencipta 52,550 pekerjaan dan melahirkan kira-kira 23,090 orang usahawan tempatan.