Tak perlu beri PIBG buat keputusan

Rosli Yang Danian
Rosli Yang Danian
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan tidak sewajarnya memberikan kuasa kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menentukan pengajaran tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK) mulai tahun 2020.

Presiden Pertubuhan Masyarakat Melayu Perak (Harmonis), Datuk Rosli Yang Danian berkata, di dalam Perkara 53 Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa persatuan itu tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya merangkumi perkara perkara berkaitan pentadbiran dan pengurusan sekolah.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya mengheret PIBG untuk terlibat sama dalam pelaksanaan tulisan jawi di SJK.

"Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula keputusan memberi kuasa kepada PIBG menentukan pengajaran tulisan jawi di SJK kerana ia tentu tidak akan dilaksanakan.

"Menteri Pendidikan seharusnya lebih tegas dalam menentukan hala tuju dasar pendidikan negara dan bukan memberi kebebasan sewenang-wenangnya kepada PIBG menentukan dasar berkenaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya menjelaskan pengenalan tulisan jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi diajar jika dapat persetujuan PIBG: KPM

Katanya, lebih membimbangkan, keputusan ini akan menjadi permulaan kepada campur tangan PIBG dalam pengurusan sekolah selepas ini sekali gus mengganggu dasar yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, kerajaan perlu menentukan sama ada tulisan jawi atau seni khat yang mahu diperkenalkan di SJK itu.

"Jika tulisan jawi mahu diperkenalkan ia perlu diletakkan di bawah mata pelajaran bahasa Melayu manakala jika tulisan khat ia perlu dimasukkan di dalam silibus mata pelajaran seni," katanya.

Rosli berkata, pihaknya melihat pengenalan tulisan jawi di dalam mata pelajaran bahasa Melayu wajar dilaksanakan kerana tulisan tersebut sinonim dengan bahasa Melayu.

"Setiap bangsa ada negaranya dan setiap negara ada bahasa dan tulisan tersendiri. Begitu jugalah Malaysia yang dulu dikenali sebagai Tanah Melayu. Jadi tulisan Melayu pada masa itu adalah jawi sebelum digantikan dengan tulisan rumi.

"Begitu juga dengan negara-negara lain mempunyai tulisan mereka sendiri yang wajib dipelajari oleh rakyat dan penduduk di negara itu," katanya.

Menurutnya, mengambil contoh negara China dan India yang mempunyai tulisan sendiri begitu juga Thailand serta Korea dan tulisan jawi seharusnya tidak dijadikan isu yang terlalu besar untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan di negara ini.