Malaysia tetap terpaksa terima ‘najis’ toksik Lynas: Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Langkah kerajaan memperbaharui lesen operasi kilang nadir bumi milik Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan beberapa syarat baharu tetap menyebabkan rakyat menanggung risiko terdedah kepada kesan radioaktif dari sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang dikeluarkan kilang itu selama empat tahun lagi.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, walaupun beberapa syarat baharu ditetapkan, Malaysia tetap terpaksa menerima ‘najis’ toksik dari Lynas.

Menurutnya, beliau kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) berhubung kelulusan itu apabila syarat baharu yang ditetapkan lebih memihak kepada Lynas.

"Lynas menjadi pemenang dengan syarat baru ini. Begitu juga syarikat-syarikat pembekalnya yang akan terus mendapat keuntungan, sedangkan rakyat dan alam sekitar terpaksa berdepan risiko kesihatan serta pencemaran.

“Saya kesal kerana kesilapan kerajaan terdahulu yang ‘tertipu’ dengan Lynas dan percaya bahawa industri nadir bumi itu membawa keuntungan kepada negara tanpa memahami bahawa ada sisa radioaktif yang akan dijana oleh kilang tersebut," katanya melalui satu kenyataan dari Makkah, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi maklum balas terhadap keputusan kerajaan memperbaharui lesen operasi syarikat memproses bahan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk tempoh enam bulan lagi dengan beberapa syarat penting ditetapkan seperti diumumkan LPTA semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Lynas tidak seharusnya dibenarkan beroperasi pada tahun 2012 tanpa pelan pengurusan sisa radioaktif WLP yang kekal.

"Kegilaan apakah yang telah kerajaan terdahulu lakukan apabila mempercayai bahawa sisa radioaktif WLP boleh dibenarkan untuk dikitar semula dalam bentuk ‘condisoil’.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga kesal kerana walaupun Lynas kononnya menandatangani surat perjanjian mengeluarkan sisa WLP mereka dari Malaysia, namun tiada usaha sungguh-sungguh dilakukan oleh syarikat itu dan kerajaan terdahulu untuk menjadikan ia satu realiti," katanya.

Beliau berkata, amat dikesalkan kerana kerajaan hari ini terpaksa menanggung beban mencari jalan penyelesaian untuk sisa WLP sedangkan tanggungjawab tersebut harus dilaksanakan kerajaan terdahulu.

"Kesudahannya rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa mereka akan terdedah kepada risiko sisa WLP di Gebeng selama empat tahun lagi sehingga fasiliti ‘Cracking and Leaching’ disiapkan di Australia bagi memastikan tiada lagi sisa radioaktif akan dikeluarkan di kilang Lynas.

"Dalam tempoh itu, warga Kuantan dipaksa terima hakikat sisa radioaktif WLP Lynas yang akan mencecah satu juta tan akan dilupuskan di negeri ini," katanya.

Fuziah berkata, dalam keadaan sekarang, mungkin itu sahaja jalan penyelesaian yang kerajaan ada untuk menguruskan sisa radioaktif dari kilang tersebut selain langkah untuk tidak membenarkan Lynas terus beroperasi.

"Namun kabinet telah membuat keputusan dengan mengambil langkah pertama atas sebab-sebab tertentu.

"Dalam hal ini saya bersolidariti bersama warga Kuantan di dalam menanggung risiko kesihatan dan pencemaran kepada alam sekitar akibat dari keadaan tersebut," katanya.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan LPTA semalam, antara syarat utama kepada Lynas adalah syarikat itu perlu mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan 'Cracking and Leaching' dan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Dua perkara penting itu merupakan sebahagian syarat yang diputuskan setelah Kerajaan Persekutuan Australia dan Kerajaan Negeri Western Australia mengambil pendirian tidak akan menerima penghantaran balik residu radioaktif WLP Lynas.

Selain itu, Lynas juga perlu mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan 'Cracking and Leaching' di luar negara bagi tujuan memindahkan proses tersebut yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, Kuantan keluar dari negara ini.

Kemudahan 'Cracking and Leaching' di luar negara itu perlu dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.