#QuranHour: Media teruskanlah berjuang

Laporan akhbar Sinar Harian semalam berhubung seruan kepada media untuk meneruskan sinergi bagi menjayakan kempen itu. (Gambar kecil, Engku)
Laporan akhbar Sinar Harian semalam berhubung seruan kepada media untuk meneruskan sinergi bagi menjayakan kempen itu. (Gambar kecil, Engku)
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan semua media dalam pelbagai platform untuk menjayakan kempen #QuranHour untuk membentuk gelombang tsunami al-Quran kepada orang ramai dilihat sebagai usaha murni yang wajar diteruskan.

Pensyarah Kanan Fakulti Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Engku Muhammad Tajuddin Engku Ali berkata, media perlu memainkan peranan penting sebagai agenda penggerak minda masyarakat.

Menurutnya, ia juga merupakan satu bentuk kerjasama dalam melakukan kebaikan seperti yang disarankan dalam al-Quran.

“Bagaimanapun, perlu juga diberi penerangan kepada masyarakat bahawa gelombang itu (#QuranHour) tidak seharusnya berhenti di situ sahaja.

“Ia perlu diteruskan walau bukan ketika berlangsungnya kempen #QuranHour sama ada oleh individu ataupun kumpulan-kumpulan kecil,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, kempen melalui media elektronik dan cetak mengenai #QuranHour sememangnya amat diperlukan.“Kempen #QuranHour boleh menjadi titik mula kepada usaha untuk menyuntik semangat dan kesedaran

kepada masyarakat untuk membudayakan bacaan al-Quran dalam menjalani kehidupan seharian.

“Malah, diharap selepas tamatnya kempen ini nanti masyarakat akan terus mengekalkan kumpulan-kumpulan mereka untuk membaca al-Quran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyeru semua media dalam pelbagai platform untuk meneruskan sinergi dalam menjayakan kempen #QuranHour.

Beliau juga mengakui sinergi media menjadi tonggak kejayaan kempen sebelum ini dan diharap kan usaha berkenaan bukan diadakan sewaktu program-program #QuranHour sahaja, bahkan diteruskan sebagai kempen sepanjang masa.

Kempen Malaysia #QuranHour 2019 pada 30 Ogos ini diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 dan bakal berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi perdana bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari.