Hassan ada udang di sebalik batu

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri disifatkan seolah-olah seperti ada udang di sebalik batu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya menyifatkan, alasan Hassan kononnya Dr Mahathir tidak dapat menangani isu dalam negara bukan sahaja tidak tepat tetapi dilihat lebih bermotifkan politik semata-mata.

"Apakah niat sebenar beliau (Hassan) membuat gesaan sedemikian terhadap Perdana Menteri dan apakah yang beliau cuba buktikan? Sedangkan rakyat tahu bahawa faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu adalah daripada pengaruh serta pengalaman luas Dr Mahathir dalam politik dan kerajaan.

"Apakah beliau yang juga Pengerusi PKR (Parti Keadilan Rakyat) Johor itu tidak sabar-sabar mahukan 'bosnya', Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan? Ingatlah akan mandat rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk memimpin dan memulihkan negara serta tidak ada tempoh masa untuk proses itu," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar mengingatkan Hassan yang juga Pengerusi PKR Johor itu supaya menasihatkan pimpinan partinya supaya berhenti membuat gesaan, desakan atau kenyataan media berkaitan isu jawatan Perdana Menteri mahu pun mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

“Tindakan sedemikian hanya akan merencatkan usaha pemulihan negara selain mencetuskan situasi ketidaktentuan yang boleh meresahkan rakyat dan para pelabur.

"Jadi, saya ingin beritahu kepada Hassan supaya jangan beliau buang masa dengan hal-hal yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Ada baiknya jika beliau beri tumpuan atau idea bagaimana untuk membina semula negara ini bersama-sama dan jangan pentingkan diri sendiri," katanya.

Semalam, Hassan mengesyorkan agar Dr Mahathir mengambil langkah berundur daripada jawatan Perdana Menteri rentetan pelbagai polemik yang berlaku ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Hassan mendakwa, Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan raja (race, religion, royalty).