Tugas dakwah akan jadi lebih mantap

A
A

TUGAS dakwah akan menjadi lebih mantap dengan kehadiran pendakwah dalam kalangan mualaf untuk mengajak masyarakat mengenali Islam dengan lebih dekat.

Firman ALLAH SWT: "Dan untuk menjadi penyeru kepada (agama) ALLAH dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi." (Surah al-Ahzab, ayat 46)

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK

Pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin berkata, meskipun berbeza konsep dan pendekatan yang digunakan, namun peranan dimainkan begitu besar dalam menegakkan syiar Islam.

Malah katanya, pendakwah dalam kalangan mualaf kadangkala diterima lebih baik oleh bangsa mereka sendiri kerana kelebihan memahami budaya suatu masyarakat berkenaan.

"Penting untuk kita melahirkan pendakwah dalam kalangan mualaf kerana mereka bukan sahaja memahami situasi dan cabaran dihadapi saudara baharu, tetapi juga boleh gunakan pertuturan bahasa ibunda mereka seperti bahasa Cina dan Tamil dengan kaum mereka supaya ia mudah difahami.

"Mungkin kita boleh berbahasa Cina atau Tamil, namun tidak dari segi budaya. Sebab itulah mereka yang berasal daripada bangsa itu lebih memahami budaya mereka dan tahu bagaimana cara mendekati masyarakat berkenaan," katanya kepada Sinar Islam.

Ustazah Asmak yang juga Penasihat Pertubuhan Kembara Iman Malaysia berkata, pertubuhan yang dipengerusikan Adam Corrie Lee Abdullah itu berusaha melahirkan seramai mungkin saudara baharu yang sedia menjadi pendakwah.

"Kami mengadakan kursus untuk mereka antaranya membawa mualaf ke Makkah. Ia bukan sahaja untuk menunaikan umrah semata-mata, tetapi mereka dilatih dengan ilmu di sana. Tujuannya supaya mereka boleh menjadi pendakwah yang istiqamah kepada Islam dam mampu untuk memberikan gambaran yang sebenar tentang agama suci ini serta menarik kawan-kawan dalam kalangan mereka," katanya.

USTAZ MUHAMMAD FARHAN TEE
USTAZ MUHAMMAD FARHAN TEE

Sementara itu, Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, Perkim ada menyediakan latihan khusus untuk mualaf menjadi pendakwah.

"Perkim mengalu-alukan golongan tersebut sekiranya mereka berminat menjadi mualaf. Kami juga tawarkan latihan kepada mualaf yang berpotensi menjadi pendakwah. Dakwah ada pelbagai cara. Jika tidak mampu bercakap sekalipun, kita boleh gunakan tenaga dan buah fikiran mereka. Dalam tempoh pembelajaran itu, mereka boleh belajar sebagai bekalan dia untuk menjawab atau mengajar dan pada masa yang sama memperbetulkan dirinya," katanya.

(ARTIKEL BERKAITAN: 'Islam bukan untuk disimpan')