Geng Emi Keju tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang kemas yang dirampas dalam operasi menahan Geng Emi Keju.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang kemas yang dirampas dalam operasi menahan Geng Emi Keju.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan secara keseluruhan Geng Emi Keju yang aktif melakukan kegiatan samun bersenjata sejak 2013.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, geng ini terlibat kes samun van keselamatan membawa duit di Bukit Antarabangsa pada September 2017 yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM700,000, selain kes samun kedai emas di Tesco Rawang pada Disember 2017 dengan kerugian RM800,000.

Katanya, geng tersebut juga melakukan samun kedai emas di sebuah pasaraya di Sri Petaling pada Ogos 2018 kerugian RM800,000 dan samun berangkai bermotosikal.

"Geng ini aktif melakukan kegiatan samun di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Sehingga kini kumpulan ini telah melakukan lebih daripada 50 kes samun bersenjata melibatkan jumlah anggaran kerugian melebihi RM4 juta.

"Kumpulan ini dikenal pasti antara geng yang menggunakan teknologi dan bijak merancang dengan teliti setiap jenayah samun yang dilakukan sehingga kelicikan mereka itu berjaya mengelak daripada dikesan dan ditahan polis. Mereka ini lebih handal daripada Geng Mamak (jenayah rompakan jongkong emas bernilai RM12 juta pada 31 Ogos 1994).

"Ekoran daripada itu, operasi bersama telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor dan Bahagian D14 Siasatan Jenayah Terancang JSJ Bukit Aman bagi menyekat jenayah Geng Emi Keju. Dalam operasi tersebut 17 suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun yang disyaki ahli kumpulan itu ditahan termasuk ketua kumpulan yang digelar Emi," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Huzir berkata, Emi yang berusia 32 tahun ditahan Jun lalu di sebuah pusat karaoke ketika sedang berhibur juga merupakan bekas pelajar Henry Gurney, Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan ini menghabiskan wang samun dengan berhibur dan dadah. Dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan, polis turut merampas tiga pucuk pistol angin dan sebahagian barang kemas hasil samun kumpulan ini.

"Hasil siasatan turut mendedahkan penglibatan lima lagi suspek yang masih berada dalam penjara manakala empat lagi masih bebas dan sedang giat diburu. Siasatan juga mendapati, dua daripada suspek yang ditahan merupakan adik kepada ketua kumpulan geng ini," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, kegiatan jenayah Geng Emi Keju ini berkembang dari tahun ke tahun.

"Pada peringkat awal ia hanya berskala kecil, mereka guna parang dan libatkan individu sebagai mangsa sahaja.

"Sehinggalah kini mereka samun guna senjata api di kedai emas pasar raya dan van keselamatan membawa wang tunai," katanya

Beliau berkata, ketua dan ahli kumpulan itu telah beberapa kali ditahan atas kesalahan jenayah samun dan ada juga dituduh di mahkamah kemudian tidak hadir perbicaraan selepas diberi jaminan mahkamah.

"Kumpulan ini masih terus wujud dan melakukan kesalahan sama berulang kali. Keahliannya juga semakin bertambah sementara jenayah samun yang dilakukan menjadi semakin serius.

"Dengan penahanan Emi dan konconya, polis yakin telah berjaya melumpuhkan Geng Emi Keju yang selama ini menimbulkan ancaman keselamatan serta ketenteraman awam yang ditimbulkan oleh kumpulan ini," katanya.

Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 130V kerana menjadi ahli Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) dan 130W kerana membantu KJT Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan.

"Siasatan dan pendakwaan ke atas suspek dijalankan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012. Di samping itu pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman turut menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas harta dan wang ahli kumpulan Geng Emi Keju di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

"Sehingga setakat ini, sebanyak RM15,550.23 wang simpanan dalam akaun bank dibekukan selain tindakan penyitaan turut dibuat ke atas dua kenderaan jenis Honda City dan Honda Accord dengan nilai anggaran berjumlah RM96,000," katanya.

Menurutnya, Emi dan konconya yang direman akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang pagi esok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!