Jenazah Amirul Ashraff selamat dikebumikan

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Jenazah pelajar Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, yang maut selepas dipercayai tergelincir dari tingkat 23 pangsapurinya di Sydney, Australia selamat dikebumikan semalam.

Ayah pelajar itu, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata jenazah Amirul Ashraff dikebumikan selepas waktu zohor di Sydney.

"Pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghubungi saya semalam pada 11 pagi (waktu Malaysia) memaklumkan pengebumian anak saya telah diselesaikan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Mara kerana mengendalikan urusan pengebumian anak saya dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Kampung Tersusun Tekah dekat sini hari ini.

Amirul Ashraff merupakan pelajar tajaan Mara berasal dari Taiping adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology of Sydney, Australia.

Mengenai laporan bedah siasat, Md Azhar yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata pihaknya belum menerima maklumat tersebut.

"Saya juga belum bercadang untuk menziarahi pusara anak kerana masih dalam kesedihan,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Amirul Ashraff akan dikebumikan di Sydney

'Kami reda pemergian Amirul Ashraff'