Kedah di bawah pimpinan Mukhriz

Profesor Dr Sivamurugan Pandian
Profesor Dr Sivamurugan Pandian
A
A
A

DATUK Seri Mukhriz Mahathir ialah Menteri Besar Kedah ke-11 dan ke-13 dalam sejarah kepimpinan negeri Kedah sehingga ke hari ini. Uniknya, beliau pernah menjadi Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kini mengetuai kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

Pada 6 Mei 2013, Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah buat kali pertama selepas BN merampas semula negeri tersebut daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selepas 33 bulan atau hampir tiga tahun, beliau melepaskan jawatan kerana UMNO Kedah membuat keputusan tidak menyokong kepimpinannya. Ia dilakukan bukan kerana ketidakupayaan beliau tetapi lebih kepada percaturan politik disebabkan krisis dalaman parti ketika itu.

Ramai yang tidak tahu bahawa beliau melalui pelbagai sepak terajang politik sebelum berada di kedudukan hari ini.

Selepas persaraan Dr Mahathir pada tahun 2003 yang juga menjadi permulaan Mukhriz dalam arena politik, beliau pernah tewas jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu tetapi menang undian tertinggi Exco Pemuda UMNO tahun yang sama (2004).

Mukhriz juga tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2008, sebagaimana gagal dalam pertandingan jawatan Naib Presiden UMNO 2013 sekali lagi bukan kerana tidak layak tetapi permainan politik dalaman parti yang turut mematangkan perjalanan karier beliau hari ini.

Dalam PRU12, Mukhriz menang kerusi Parlimen Jerlun yang membawa kepada pelantikan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala dalam PRU13, menang di (Dewan Undangan Negeri) DUN Ayer Hitam dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Sepanjang tempoh 2016-2018, Mukhriz terlibat dalam proses memperkasakan kedudukan Bersatu sebagai Timbalan Presiden selepas dipecat daripada UMNO. Menang di DUN Jitra dan Parlimen Jerlun, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar buat kali kedua.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan

Dalam jarak masa 14 bulan sejak Mei 2018, di manakah Kedah di bawah kepimpinan Mukhriz? Apakah beliau berjaya menstabilkan keresahan politik ketika mula mengambil alih teraju kepimpinan negeri ini? Bertemakan ‘Kedah Aman Makmur, Harapan Bersama Makmurkan Kedah’, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilakukan untuk rakyat.

Kini, Kedah di tempat kedua selepas Pulau Pinang dengan pelaburan RM7.6 bilion dalam pelaburan langsung tempatan dan asing dengan sasaran RM10 bilion pada penghujung 2019.

Dalam sektor pendidikan pula, Mukhriz memperkenalkan Dasar Nasional 4.0 yakni projek perintis kelas pintar untuk anak-anak Kedah belajar dan memahami latar Revolusi Industri 4.0.

Begitu juga dalam sektor agama apabila Yayasan Pendidikan Islam Darul Aman ditubuhkan sebagaimana Tabung Islah Maahad Negeri Kedah, Skim Takaful Murabbi Darul Aman di samping Mahkamah Syariah Bergerak.

Sejumlah RM1.13 bilion peruntukan tambahan kepada bajet pembangunan negeri dilakukan melibatkan RM194 juta perbelanjaan pembangunan dan RM15 juta untuk pembinaan perpustakaan digital Alor Setar.

Pembinaan KXP pula menerima RM1.6 bilion manakala Lebuhraya Koridor Utara dibina membabitkan jarak 70 kilometer dengan perbelanjaan RM1.7 bilion untuk kawasan Bandar Bahru ke Sungai Petani dan Bandar Bahru ke Jambatan Kedua Pulau Pinang. Memandangkan sebahagian besar penduduk Kedah adalah wanita, keprihatinan beliau untuk memastikan inisiatif kerajaan negeri tidak meminggirkan mereka ketara apabila Tabung Khas Wanita Negeri Kedah diwujudkan dan Kad KIDA untuk golongan dari isi rumah di bawah kategori B40 disediakan.

Kedah di bawah Mukhriz menampakkan hasil positif apatah lagi dalam memasuki tahun kedua, agenda kemasyarakatan dan tarikan pelabur asing termasuk dari Asia Tengah dipertingkatkan. Begitu juga dengan keinginan Qatar Airways untuk melakukan penerbangan terus ke Langkawi dari Doha sudah pasti mencambah industri pelancongan negeri.

Kesemua pencapaian 14 bulan ialah ‘perjuangan belum selesai’ Mukhriz sejak 2016 yang terpaksa dihentikan sebahagiannya kerana pertembungan medan politik ketika itu.

Kini, beliau mampu melaksanakannya kerana agenda ‘merakyatkan kepimpinan’ adalah antara elemen yang mahu sentiasa diterokai.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia