‘Zakir tak boleh tinggal di Malaysia’

A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menyatakan pendirian mereka agar pendakwah dari India, Dr Zakir Naik tidak dibenarkan tinggal di negara ini.

Dua menteri dari DAP itu dalam satu kenyataan bersama berkata, pendirian itu telah disuarakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Kami telah suarakan pendirian iaitu tindakan mesti diambil dan Zakir tidak boleh lagi dibenarkan tinggal di Malaysia. Perdana Menteri ambil maklum kebimbangan kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Kula Segaran gesa tindakan terhadap Zakir Naik

Kit Siang gesa ambil tindakan kepada Zakir Naik

'Kita tak hantar Zakir pulang kerana bimbang beliau dibunuh'

“Kami serahkan kepada beliau untuk membuat pertimbangan dan seterusnya membuat keputusan secepat yang mungkin untuk menangani masalah ini,” kata mereka.

Ahli Parlimen Puchong dan Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, mereka turut menegaskan kebimbangan disuarakan banyak pihak mengenai ceramah dan kenyataan oleh Zakir yang boleh mencetuskan kekacauan.

“Oleh itu, kami menyatakan bantahan terhadap Zakir sementara beliau tidak lagi boleh mengadakan sebarang program di Malaysia atau membuat kenyataan lanjut yang memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam,” kata mereka.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak menghantar pulang Zakir pulang ke negara asalnya.

Dr Mahathir berkata, beliau enggan berbuat demikian kerana bimbang sekiranya pendakwah itu dibunuh di India nanti.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia