RM22,000 lesap diperdaya 'Inspektor Imran'

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja sebuah loji air di Muadzam Shah berputih mata apabila wang RM22,000 miliknya lesap selepas memindahkan wang berkenaan ke akaun lain atas arahan 'Inspektor Imran' semalam.

Mangsa berusia 57 tahun diarahkan berbuat demikian oleh pegawai polis terbabit yang sebenarnya sindiket penipuan kononnya bagi tujuan siasatan selepas dia dikaitkan dengan kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang membuat pindahan wang itu semalam atas nama seorang lelaki.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada hari sama memaklumkan tentang pinjaman bank atas namanya berjumlah RM70,000.

"Mangsa menafikan tentang pinjaman itu sebelum panggilan disambung kepada 'Inspektor Imran' bagi tujuan semakan.

"Seperti biasa, sindiket penipuan ini memerangkap mangsa dengan dakwaan dia terlibat dengan kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram yang memperuntukkan hukuman berat," katanya.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa memindahkan wang dalam akaun banknya bagi tujuan siasatan sebelum melesapkan wang tersebut.

"Menyedari dia ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis juga sedang mengesan seorang lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan", katanya.