Suspek cuba samun penghantar makanan didakwa esok

Suspek cuba samun penghantar makanan dalam kejadian Jumaat lalu akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.
A
A

DAMANSARA - Suspek yang cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan dalam kejadian petang Jumaat lalu akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek dan rakannya yang masih bebas akan didakwa di bawah Seksyen 393 dan 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, seorang daripada suspek terlibat ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sebuah rumah di Jalan Kuang Bertam 9, Taman Kepong, Kuala Lumpur pada jam 4.45 pagi, Sabtu lalu.

Suspek ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu sehingga esok.

“Kes dirujuk hari ini dan arahan Timbalan Pendakwa Raya supaya suspek dituduh bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas di bawah Seksyen 393 dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek samun, curi motosikal ditahan polis

Malang si penjenayah tercicir telefon

Terdahulu Sinar Harian melaporkan malang bagi dua penjenayah apabila telefon bimbit milik seorang daripada mereka terjatuh ketika cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan di Phileo Damansara petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 2.53 petang itu, mangsa berusia 22 tahun cedera akibat bergelut untuk menyelamatkan motosikalnya daripada dilarikan suspek.

Kejadian berlaku ketika mangsa berada di depan bangunan Phileo Damansara 2 sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z mendakwa motosikal milik mangsa adalah kenderaan curi dan ingin mengambilnya.

Suspek yang merupakan pemilik kepada telefon tercicir di lokasi ketika kejadian kemudian diberkas polis.

Hasil soal siasat, suspek ditahan mengaku terlibat dalam kes jenayah itu bersama seorang lagi rakan (suspek masih bebas) yang dikenalinya ketika menerima hukuman di penjara Kajang sembilan tahun lalu.

Susulan penahanan suspek, polis merampas kunci dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125, topi keledar dan alat pengunci motosikal.