Malang si penjenayah tercicir telefon

Rakaman CCTV menunjukkan mangsa melompat ke atas motosikal miliknya yang cuba dilarikan seorang suspek.
Rakaman CCTV menunjukkan mangsa melompat ke atas motosikal miliknya yang cuba dilarikan seorang suspek.
A
A
A

DAMANSARA - Malang bagi dua penjenayah apabila telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka terjatuh ketika cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan di Phileo Damansara petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.53 petang itu, mangsa berusia 22 tahun cedera akibat bergelut untuk menyelamatkan motosikalnya daripada dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di depan bangunan Phileo Damansara 2.

Menurutnya, dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z menghampiri penghantar makanan itu mendakwa motosikal milik mangsa adalah kenderaan curi dan ingin mengambilnya.

“Suspek menyuruh mangsa turun dalam masa sama seorang rakannya memukul kepalanya dengan pengunci motosikal.

“Mangsa bergelut untuk menyelamatkan diri dan sempat menendang motosikalnya yang cuba dilarikan suspek hingga jatuh,” katanya.

Mohd Zani berkata, ketika bergelut telefon bimbit milik suspek terjatuh di lokasi kejadian namun ia tidak diambil kembali sebelum kedua-dua penjenayah terbabit melarikan diri.

Menurutnya, ada saksi melihat seorang daripada suspek membawa parang yang diselit di bahagian belakang badan.

Artikel Berkaitan:

“Pengadu alami kecederaan di bahagian telinga, kepala, badan belakang dan mulut namun tidak alami kerugian kerana motosikalnya gagal dilarikan. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu kejadian berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di laluan keluar masuk kenderaan ke bangunan tersebut.

Rakaman menunjukkan suspek mendekati mangsa sebelum seorang daripadanya mula bertindak memukulnya.

Mangsa kemudian dilihat melompat ke atas motosikal miliknya yang cuba dilarikan seorang suspek sebelum dipukul bertubi-tubi lebih seminit sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.