Najib sakit mata, perbicaraan kes SRC International ditangguh

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini sebentar tadi terpaksa menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-53 hari ini selepas dimaklumkan peguam, Datuk Seri Najib Razak mengalami jangkitan mata (conjunctivitis).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya diberikan sijil cuti sakit bermula hari ini hingga Jumaat.

Mohd Nazlan sebelum menangguhkan prosiding itu berkata, mahkamah tiada pilihan selain menangguhkan perbicaraan dan menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram setuju kes itu ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan mata Najib.

“Saya ditunjukkan gambar Najib dan ia kelihatan teruk pada kedua-dua matanya. Penyakit mata ini boleh berjangkit dan kita semua mungkin boleh mendapat jangkitan yang sama," katanya.

Pada masa sama pihak pendakwaan akan menulis kepada Hakim Mahkamah Tinggi lain yang mendengar kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) Collin Lawrence Sequerah untuk membuat temu janji dan menetapkan pengurusan kes pada Jumaat ini.

Sepatutnya prosiding hari ini mendengar keterangan saksi terakhir iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Sementara itu pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC International.