Anjing dipanah: Polis teliti rakaman CCTV

Anjing yang ditemui mati dengan tusukan dua anak panah di badannya semalam. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
Anjing yang ditemui mati dengan tusukan dua anak panah di badannya semalam. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
A
A
A

LANGKAWI - Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan lot rumah kedai di Dayang Bay, Kuah dekat sini dalam usaha untuk mengesan pelaku yang menyebabkan seekor anjing ditemui mati dipanah semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tiga CCTV di kedai-kedai berhampiran yang berada di kawasan tersebut sedang dilihat oleh pihaknya untuk mendapatkan maklumat.

"Setakat ini belum ada lagi saksi yang tampil dan kami minta kepada siapa-siapa yang mempunyai maklumat agar dapat tampil untuk membantu siasatan polis.

"Setakat ini siasatan masih lagi sedang dijalankan dan kami sedang meneliti rakaman CCTV," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam tular gambar seekor anjing yang ditemui mati dengan tusukan dua anak panah selepas dimuat naik oleh pengguna Facebook dikenali Choo WS sekali gus mendapat banyak maklum balas netizen yang mahu pelaku tersebut dihukum dengan hukuman setimpal.

Polis Langkawi menerima laporan daripada seorang penduduk pada 4.54 petang yang menerima kiriman gambar daripada kenalannya berhubung anjing mati tersebut.

Mohd Iqbal berkata, bangkai anjing dibawa ke Klinik Haiwan Chenang untuk bedah siasat selepas tiada pegawai veterinar bertauliah di pulau itu dan haiwan tersebut belum dikenalpasti mempunyai pemilik kerana belum ada pihak membuat laporan kehilangan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Islam larang bunuh anjing tanpa sebab: Mufti Kedah