Islam larang bunuh anjing tanpa sebab: Mufti Kedah

Gambar seekor anjing yang mati ditemui bersama dua anak panah di badannya tular media sosial.
Gambar seekor anjing yang mati ditemui bersama dua anak panah di badannya tular media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - 'Islam melarang keras sebarang bentuk perbuatan yang boleh menyakiti sehingga boleh menyebabkan kematian tidak kira apa makhluk sekalipun', ujar Mufti Kedah berhubung penemuan seekor anjing yang ditemui mati dipanah di kawasan lot rumah kedai di Dayang Bay, Kuah, Langkawi semalam.

Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, agama Islam menganjurkan bahawa perlu ada rasa kasih sayang terhadap semua jenis binatang termasuk anjing walaupun berada dalam kategori najis mughallazah.

"Kita berasa kesal dengan anjing itu yang dipanah dan dibunuh tanpa ada apa-apa sebab munasabah.

"Kecuali jika anjing itu yang mahu menyerang kita, Islam membenarkannya.

"Namun jika tidak ada apa-apa sebab yang menunjukkan keganasan seperti menyerang kita maka Islam melarang dengan keras perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, Islam adalah agama rahmah malah banyak kisah-kisah tentang perlunya membuat kebaikan terhadap haiwan yang diceritakan di dalam hadis.

"Ada kisah tentang seekor anjing yang dahaga dan dilihat seorang pemuda dan beliau turun ke telaga untuk mengambil air dengan menggunakan kasutnya dan memberikan minum kepada anjing tersebut.

"Maka diberitahu kepada pemuda tersebut diampunkan dosa seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Artikel Berkaitan:

"Nabi Muhammad SAW juga menceritakan kisah seorang perempuan yang jahat turut melakukan perkara yang sama dengan memberikan air kepada seekor anjing yang dahaga. Sabda Nabi, wanita tersebut diampunkan dosa oleh ALLAH SWT kerana kasih sayangnya kepada anjing tersebut," katanya.

Semalam, polis Langkawi menerima laporan daripada seorang penduduk pada 4.54 petang yang menerima kiriman gambar daripada kenalannya berhubung anjing mati dipanah di kawasan lot kedai yang belum berpenghuni.

Gambar tersebut juga turut tular selepas dimuat naik oleh pengguna Facebook dikenali Choo WS malah mendapat banyak maklum balas netizen yang mahu pelaku tersebut dihukum dengan hukuman setimpal.