Kes saman ibu Jamaluddin Jarjis terhadap cucu gagal selesai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman Aminah Abdullah, ibu kepada bekas Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, terhadap dua orang cucunya berhubung kegagalan memasukkan syer tiga buah syarikat ke dalam senarai aset harta pusaka dianggar bernilai RM1.3 bilion, hari ini tidak dapat diselesaikan melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman, yang mewakili Aminah, kepada pemberita selepas proses mediasi yang berlangsung hampir tiga jam di dalam kamar Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril. Ia turut dihadiri peguam S. Suhendran yang bertindak bagi kedua-dua defendan.

Aminah, 85, yang berkerusi roda dan kedua-dua cucunya Nur Anis Jamaludin, 34, dan Ikwan Hafiz Jamaludin, 32, selaku defendan turut hadir dalam prosiding itu.

Kamar Ainiah berkata, anak guamnya selaku plaintif menolak cadangan kedua-dua cucunya untuk menyelesaikan kes saman itu selepas mendapati ia tidak munasabah.

"Kedua-dua defendan mencadangkan untuk memberi wang faraid kepada plaintif namun cadangan itu ditolak selepas mendapati ia tidak ada kena mengena dengan saman sivil berhubung syer syarikat yang dikemukakan di mahkamah ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Jamaluddin Jarjis saman cucu tuntut syer RM1.3 bilion

"Oleh itu, kes saman berkenaan diteruskan dengan perbicaraan bermula Khamis ini dan dijangka tiga daripada 12 orang saksi plaintif akan memberi keterangan," kata peguam itu.

Aminah yang memfailkan saman itu pada 3 Jan lepas, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka Jamaludin (si mati) gagal memasukkan syer tiga syarikat sebagai aset harta pusaka ke dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir sewaktu kematian si mati pada 4 April 2015 dan gagal memasukkan syer itu dalam tanggungan sejak 6 Julai 2017.

Artikel Berkaitan:

Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa kedua-dua defendan gagal memasukkan syer tiga syarikat iaitu syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd, Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada aset harta pusaka si mati dan dibuat dengan tujuan menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.

Plaintif juga mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu syer tiga syarikat itu yang bernilai RM1,384,312,154, dua tahun enam bulan selepas kematian Jamaludin, dan gagal memberi maklumat berhubung dengan harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.

Kedua-dua defendan juga didakwa gagal memasukkan sebuah apartmen di Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta ke dalam senarai aset yang dilampirkan bersama surat pentadbiran dan gagal memaklumkan kepada plaintif bahawa beliau telah memperoleh sijil faraid bagi harta pusaka daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 6 Okt 2016.

Oleh itu, plaintif menuntut namanya dimasukkan dalam senarai pentadbir bersama harta pusaka kerana beliau merupakan ibu kandung yang sah kepada si mati mempunyai kepentingan dalam harta pusaka.

Turut dituntut kedua-dua defendan membayar dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan daripada pegangan syer tiga buah syarikat itu ke dalam akaun plaintif dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah dikeluarkan. - Bernama