LPJ, Smart Crest bangun pulau simpanan minyak di Johor

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta, Smart Crest Sdn Bhd untuk membangunkan pulau simpanan minyak bernilai RM2 bilion berhampiran Tanjung Bin, Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menyaksikan upacara itu hari ini berkata, projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh swasta dan akan meletakkan Malaysia serta Johor dalam peta dunia sebagai peneraju utama dalam perniagaan bunker dan penyimpanan minyak.

"Di peringkat nasional, pembangunan pulau tersebut akan menjadi pengganda ekonomi yang penting bagi negara memandangkan kapal-kapal yang masuk akan membuang atau mengisi minyak, mereka ini akan berbelanja untuk perkhidmatan lain seperti yuran agensi, caj pelabuhan, penghantaran kapal serta pengangkutan kru, hotel, pembangunan kerjaya dan perdagangan kewangan," katanya.

Katanya, projek itu akan mewujudkan pusat pengangkutan, pengadunan dan pengedaran semula minyak pukal kepada pasaran domestik dan serantau.

Perjanjian itu telah dimeterai oleh Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal dan Pengarah Urusan Smart Crest Sdn Bhd, Ir Cher Lee Kiat.

Terletak dalam lingkungan Zon Perdagangan Bebas Tanjung Pelepas, tempat simpanan minyak atau Pulau Bunker itu akan dibina di atas kawasan tebus tanah seluas 100 ekar berhampiran Tanjung Bin, ia dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Ia akan mempunyai 61 tangki yang terletak dalam lima kawasan lubang tangki dengan kapasiti penyimpanan kira-kira 1.20 juta meter padu, dua jeti dan tujuh tempat berlabuh, selain keupayaan untuk mengendalikan pelbagai jenis produk.

Menurut Loke lagi, projek itu juga akan menyediakan Malaysia dengan peluang bagi mempromosikan bahan api marin yang lebih bersih, sejajar dengan peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang akan dikuatkuasakan mulai Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Kementeriannya akan memastikan projek Pulau Bunker itu dimulakan secepat mungkin selepas tertangguh sebelum ini, dengan memastikan tiada lagi karenah birokrasi yang menghalang pelaksanaan projek berimpak tinggi itu.

"Pemaju amat yakin bahawa fasa pertama projek yang merupakan pembangunan tangki minyak boleh diselesaikan dalam tempoh dua tahun, ini akan menjana pendapatan untuk pembangunan fasa seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Rosnan berkata LPJ telah menyerahkan tempoh pajakan selama 30 tahun kepada pemaju dengan sewa sebanyak RM500,000 setahun untuk dua tahun pertama.

Bagi tempoh seterusnya, bayaran pajakan sebanyak RM2.19 juta akan dilaksanakan untuk tahun ketiga, keempat dan kelima serta kenaikan 10 peratus dalam sewa, sekali bagi setiap lima tahun, katanya. - Bernama