Insentif khas TNB sempena sambutan Hari Kebangsaan

A
A

SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-62, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan.

TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata insentif yang diberikan sejak tahun 2000 itu terbuka kepada semua pengguna perdagangan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, di bawah tarif B, C1 dan C2 untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2019.

"Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2019.

"Ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak,” menurut kenyataan itu.

Para pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my.

Tarikh tutup permohonan adalah 15 September 2019. -Bernama