Jangan politikkan visa Furada: Mujahid

x-default
x-default
A
A
A
PARIT BUNTAR - Jangan politik dan mengaitkan isu kuota Visa Furada yang hangat diperkatakan baru-baru ini dengan kuota haji tambahan diterima kerajaan Pusat kerana dua perkara itu langsung tiada kaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan segelintir pihak mengaitkan dua perkara berkenaan dalam isu membabitkan 26 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah akibat masalah visa adalah satu kekeliruan berbahaya.

Menurutnya, dakwaan isu Visa Furada tercetus susulan kegagalan beliau mendapatkan kuota haji tambahan sebanyak 10,000 jemaah daripada kerajaan Arab Saudi adalah tidak benar dan boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

"Kita memang sudah dapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 jemaah daripada kerajaan Arab Saudi, namun perkara itu tidak boleh dihebohkan secara terbuka.

"Ini kerana kita bimbang wujud konflik negara lain yang turut meminta kuota tambahan dengan kerajaan Arab Saudi. Visa Furada sama sekali tiada kaitan dengan isu kuota tambahan 10,000 jemaah kerana visa khas itu dianugerahkan dengan kuasa mutlak kerajaan Arab Saudi kepada pihak tertentu atas dasar budi bicara," katanya kepada Sinar Harian sewaktu menghadiri majlis Ibadah Korban Perdana 1440H di Sungai Setar, di sini.
Artikel Berkaitan:


Mujahid berkata, susulan kejadian malang membabitkan 26 jemaah haji terkandas baru-baru ini, pihaknya mengingatkan jemaah yang mengambil pakej haji menggunakan Visa Furada supaya jangan terperangkap dengan tawaran meragukan dari syarikat-syarikat pelancongan tertentu.

Menurutnya, kerajaan Pusat akan meminta syarikat-syarikat pelancongan yang menggunakan Visa Furada agar berdaftar dengan Tabung Haji melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi membolehkan pihaknya memastikan kredibiliti dan keteguhan syarikat berkenaan.