Sindiket edar rokok seludup bernilai RM4.2 juta tumpas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 25,750 karton rokok seludup jenama U2 dianggarkan bernilai RM4.2 juta dirampas dalam serbuan ke atas satu sindiket pengedaran rokok dipercayai bergiat aktif di semenanjung Malaysia semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi itu lima lelaki tempatan berusia di antara 23 hingga 37 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis yang bertindak atas maklumat orang awam telah menjalankan 'Op Asap' menerusi Pasukan Gerakan Khas (PGK) di kawasan Mersing, Johor dan menemui sejumlah karton rokok putih seludup jenama berkenaan di lokasi serbuan.

"Sebuah lori jenis Isuzu dan sebuah kereta jenis Proton Wira turut disita," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing selama tiga hari bermula semalam hingga 11 Ogos di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu di ALOR SETAR, Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas pelbagai jenis rokok putih yang tidak berkastam bernilai RM425,399 termasuk cukai, dalam satu serbuan di sebuah stor di Kampung Tanjung Bayam di sini petang semalam.

Timbalan Komander Risik dan Operasi AKSEM Bukit Kayu Hitam, Inspektor Kamar Barin berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota risik AKSEM negeri kira-kira 5 petang semalam berdasarkan maklumat dan risikan sebelum ini.

Katanya, rokok berjenama Vson, Mayor dan Bosston yang dirampas adalah jenama baharu yang dibawa masuk sindiket untuk bersaing dengan rokok jenama lain seperti John dan dijual pada harga murah.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 30 kotak besar ditemui anggota operasi di dalam stor berkenaan dan pemeriksaan lanjut mendapati rokok yang dirampas adalah bernilai RM41,655 dengan nilai cukai sebanyak RM383,744, yang kita dapati turut menggunakan duti setem palsu.

"Ini kali pertama kita rampas rokok yang menggunakan duti setem palsu...tujuan sindiket adalah untuk mengelirukan pihak berkuasa dan orang ramai yang membeli rokok jenis itu di pasaran,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamar berkata, rokok yang dirampas ini dipercayai telah dibawa masuk melalui jalan laut dari negara jiran sebelum disembunyikan di dalam stor tersebut sebelum ianya diedarkan di kawasan Kuala Nerang, Padang Terap dan Pokok Sena antara RM4 dan RM5 sekotak.

Kesemua barangan rampasan kemudian diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama