Tak perlu tubuh jawatankuasa pemantau: Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Jawatankuasa pemantau tabung wakaf sumbangan masjid tidak perlu ditubuhkan memandangkan pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dipantau dan diaudit oleh juruaudit dalaman kerajaan negeri dan Pusat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, tabung wakaf sumbangan masjid akan diuruskan dengan baik dan profesional oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memperkasakan ekonomi umat Islam Pulau Pinang.

"Sebagai sebuah badan di bawah kerajaan negeri, sudah pasti pengurusan dan pentadbiran MAINPP sentiasa dipantau dan diaudit oleh juruaudit dalaman.

"Oleh itu, tidak perlulah ditubuhkan jawatankuasa pemantau lain untuk memastikan ketelusan seperti dicadang oleh pihak tertentu," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemantau untuk memastikan sumbangan ke tabung wakaf oleh masjid itu diuruskan dengan telus dan cekap.

Wan Salim berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang juga sering mengadakan pertemuan berkala dengan ahli jawatankuasa kariah seluruh negeri setiap tahun.

"Dalam pertemuan itu, kita akan membincangkan pelbagai isu berkaitan masjid dan umat Islam di kariah masing-masing untuk menyelesaikan masalah agama dan kepentingan jemaah.

"Menerusi interaksi ini, ahli jawatankuasa masjid berpeluang bertanya apa juga kemusykilan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri. Mereka juga boleh membangkitkan apa juga masalah yang ingin dikemukakan untuk kepentingan umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap segala projek yang memberi faedah kepada umat Islam mendapat sokongan semua pihak tanpa dipolitikkan sehingga menggagalkan usaha yang baik ini dan akan merugikan orang Islam selain secara tidak langsung mengkhianati agama dan bangsa sendiri," katanya.

Sebelum ini, tular mengenai penubuhan tabung wakaf sumbangan masjid negeri menerusi surat pekeliling kepada pengurusan masjid bertarikh 26 Jun lalu.

Menerusi surat itu, semua masjid di negeri ini diminta menyumbang sebanyak 10 peratus hasil kutipan tabung setiap Jumaat pada setiap bulan kepada tabung berkenaan berkuat kuasa bulan lalu.

Semalam, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim memaklumkan keputusan Mesyuarat MAINPP Bil 3/2018 meluluskan cadangan penubuhan tabung tersebut bagi mengumpul dana melalui kutipan Jumaat di seluruh masjid di Pulau Pinang untuk membiayai projek pembelian tanah serta hartanah bagi kepentingan Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: GPMS cadang tubuh jawatankuasa pantau kutipan wang masjid