Jumpa mayat reput, berulat dalam kebun

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Dzaffir
A
A

SEMENYIH - Bau busuk dihidu seorang lelaki di kebun milik majikannya berakhir dengan penemuan mayat reput dan berulat di Jalan Sungai Lalang di sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat lelaki tersebut pada jam 6 petang.

Menurutnya, saksi yang terhidu bau busuk menyusuri kawasan kebun sebelum menemui mayat tanpa identiti dalam keadaan tertiarap.

"Mangsa tidak berbaju dan hanya memakai seluar trek. Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata atau barang milik mangsa.

"Pasukan siasatan digerakkan ke lokasi bersama Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melakukan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, saksi memberitahu kali terakhir dia dan majikannya ke kebun seluas 0.4 hektar itu sebulan yang lalu.

Katanya, kawasan tanah itu tidak berpagar dan terdapat beberapa unit bangunan didirikan di bahagian hadapan lot tanah tersebut manakala sebahagian dijadikan dusun buah-buahan.

"Si mati ditemui dalam lingkungan jarak 200 meter dari rumah berdekatan.

"Kes diklasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan polis ditalian 03-8911 4222.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia