X

Kindly register in order to view this article
!

Gabungan Axiata-Telenor: 10 perkara yang perlu anda ketahui

A
A

Axiata dan Telenor pada Mei lalu telah mengumumkan cadangan penggabungan aset Asia mereka sekaligus bakal menjadikannya sebagai gergasi telekomunikasi di rantau Asia Selatan.

Pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat menanti dengan penuh debar apakah kesan daripada penyatuan itu yang turut menyaksikan penggabungan telco Celcom-Digi.

Namun, apabila dua pemain telco di negara ini bergabung, lazimnya orang ramai akan berasa bimbang dan tertanya-tanya.

* Apakah akan berlaku peningkatan harga pakej, produk dan perkhidmatan?

* Adakah rangkaian liputan dan kualiti perkhidmatan terjejas?

* Berlakukah pengurangan dari segi inovasi dan perkhidmatan produk?

Berikut adalah antara 10 perkara yang perlu anda tahu mengenai penggabungan itu yang mungkin akan mengubah dinamik perniagaan, pengguna dan industri di Malaysia dan peringkat global, sekali gus menolak pelbagai persepsi dan kebimbangan.

1. Harga pakej lebih kompetitif

- Ramai orang menanti dengan penuh debaran adakah harga pakej Celcom-Digi akan meningkat kerana penggabungan ini dikatakan menjadi penyebab monopoli pasaran. Namun, pakar ekonomi percaya Celcom-Digi bukan sahaja mampu menawarkan harga lebih kompetitif, bahkan lebih rendah kerana penjimatan kos operasi dan kos pembangunan teknologi.

2. Liputan lebih meluas

- Cuba tanya mereka yang berada di pedalaman, apakah talian telekomunikasi pilihan mereka? Bayangkan, Celcom yang terkenal dengan tagline Celcom Territory gabungan Celcom-Digi dijangka menawarkan liputan lebih meluas. Kaki pancing dan peminat sukan lasak di hutan pasti boleh tersenyum!

3. Salah sebuah telco terbesar di rantau ini

- Penggabungan Axiata dan operasi Asia Telenor (MergedCo) akan menjadikan ia syarikat telekomunikasi paling besar di rantau ASEAN dan Asia Selatan melibatkan sembilan buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Pakistan, Myanmar, Nepal, Bangladesh, Thailand, Kemboja dan Sri Lanka.

- Hasil penggabungan yang dicadangkan, empat syarikat gergasi akan berlokasi di Malaysia:

I. International MergedCo: Akan menjadi yang terbesar di rantau ini dan diiktiraf di seluruh dunia.

II. Global Tower: Gabungan kumpulan edotco Group dan aset Telenor Asia akan menjadikan TowerCo sebagai syarikat menara keempat terbesar di dunia

III. Pusat Inovasi Kawasan: Membangunkan produk dan penyelesaian piawaian global untuk meningkatkan liputan internet, 5G, robot, kecerdasan buatan dan lain-lain

IV. MalaysiaCo: Penubuhan MergedCo juga akan membentuk MalaysiaCo iaitu satu syarikat yang bakal menjadi juara kebangsaan Malaysia dengan penggabungan Celcom-Digi. Ia dilihat mampu menyokong dan memacu aspirasi digital Malaysia ke arah Revolusi Industri 4.0.

4. Masih berjiwa Malaysia

- Hanya kerana mahu berganding bahu dengan sebuah syarikat Norway tidak bermakna Axiata atau Celcom menjadi kurang berjiwa Malaysia. Walaupun Telenor mempunyai pegangan majoriti, konsep tadbir urus yang adil adalah menjadi asas penggabungan untuk memastikan bahawa penggabungan ini akan terus menyokong aspirasi nasional.

MergedCo: Lantikan Lembaga Pengarah secara bergabung tetapi Pengerusi akan dipilih oleh Axiata.

MalaysiaCo: Kekal komited dengan agenda kebangsaan majority. Lembaga Pengarah dijangka dipilih daripada kalangan warga Malaysia. Selain itu, institusi Malaysia akan menjadi pemegang saham terbesar dalam MalaysiaCo berdasarkan kombinasi secara langsung dan tidak langsung.

5. Pengguna nikmati manfaat

- Sinergi penggabungan Axiata-Telenor dijangka mampu memberi penjimatan antara RM4 bilion hingga RM5 bilion di Malaysia dan pengguna akan dapat menikmati pelbagai manfaat. Antaranya termasuklah harga yang lebih kompetitif, kualiti rangkaian liputan lebih baik serta produk yang lebih inovatif berikutan entiti Malaysia yang lebih kuat dan Pusat Inovasi Serantau.

Selain mampu meningkatkan liputan serta kualiti rangkaian, MalaysiaCo juga dilihat berupaya menawarkan perkhidmatan 5G dan jalur lebar pada harga yang berpatutan. Satu tawaran teknologi yang lebih baik berbanding jika Celcom dan Digi beroperasi secara individu.

6. Teknologi 5G

- Pakar menjangkakan dengan pertukaran dan pembangunan teknologi antara kedua-dua syarikat, pengguna Malaysia bakal menikmati kecanggihan teknologi 5G dalam tempoh dua tahun. Ia membolehkan pengguna Malaysia menikmati manfaat lebih cepat daripada apa yang diramalkan tanpa penggabungan ini.

7. Peluang pekerjaan bernilai tinggi

- Bergelar syarikat gergasi telekomunikasi akan memberi peluang jaringan pekerjaan yang lebih banyak kepada anak-anak muda dalam pelbagai sektor terutamanya melibatkan bidang kejuruteraan dan telekomunikasi.

8. Agenda CSR/Negara/Bumiputra

- Program signatur Axiata seperti Axiata Young Talent Program yang bertujuan membangunkan CEO muda untuk masa depan akan terus dijadikan program tahunan. Tidak ketinggalan program CSR untuk membantu masyarakat bukan sahaja akan dikekalkan bahkan dipertingkatkan memandangkan kedudukan kewangan syarikat penggabungan lebih baik.

9. Berpotensi meningkat kecairan modal pasaran Malaysia

Axiata daripada sebuah syarikat senaraian awam (PLC) ke-8 terbesar di Malaysia, namun dengan penggabungan bersama Telenor dijangka dapat menghasilkan tiga syarikat gergasi yang tersenarai di bursa.

Dalam tempoh tiga tahun, MergedCo, MalaysiaCo dan TowerCo secara berasingan berpotensi besar menjadi syarikat ke-3, ke-5 dan ke-25 terbesar yang tersenarai di bursa Malaysia. Ini dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan ke pasaran modal Malaysia.

10. 300 juta pelanggan

- Penggabungan Axiata dan Telenor membolehkan telco tersebut mempunyai 300 juta pelanggan di sembilan negara. Ia juga mempunyai prospek perniagaan melibatkan 1 bilion populasi pengguna.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!