Axiata, Ncell sahkan penerimaan Anugerah Timbang Tara ICSID

No Image Caption
A
A
A

AXIATA Group Berhad (Axiata) yang merupakan syarikat induk Ncell Axiata Limited, mengesahkan penerimaan anugerah timbang tara daripada Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID).

Anugerah itu sekali gus menolak dakwaan yang dikemukakan oleh Axiata Investments UK Limited, anak syarikat milik penuh Axiata dan Ncell Axiata Limited terhadap Republik Demokratik Persekutuan Nepal.

Menurut Kenyataan Axiata, prosiding timbang tara ICSID (No. Kes ARB/19/15) yang dimulakan oleh Axiata Uk serta Ncell itu melibatkan tuntutan di bawah Perjanjian bertarikh 2 Mac 1993 antara Kerajaan United Kingdom, Ireland Utara dan Kerajaan Nepal.

Katanya, perjanjian itu bertujuan untuk promosi dan Perlindungan Pelaburan (BIT) yang berkaitan dengan kelakuan Nepal terhadap Ncell (Timbang Tara BIT) serta pemerolehan Axiata UK bagi pegangan saham tidak langsung 80 peratus dalam Ncell pada 2016 (Transaksi).

"Tribunal yang ditubuhkan menurut Perkara 37(2)(b) Konvensyen ICSID (Tribunal) untuk mempengerusikan kes itu pada 9 Jun 2023 telah memberikan anugerah yang menolak tuntutan yang dibuat oleh Axiata UK dan Ncell (Anugerah).

"Ia turut menyatakan dalam Anugerah itu bahawa Nepal harus mengelak daripada menuntut apa-apa cukai, yuran, penalti atau faedah selanjutnya berhubung dengan transaksi.

Tambah Axiata, pengumuman lanjut akan dibuat atas perkembangan material yang timbul daripada perkara tersebut.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada ICSID dan semua peserta dalam prosiding ini dan akan terus terlibat dengan Kerajaan Nepal (GoN) secara konstruktif.

"Axiata dan Ncell telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan sosioekonomi Nepal secara tidak langsung menyokong lebih daripada 25,000 pekerjaan dan menghubungkan lebih 16 juta pelanggan merentas rangkaiannya," ujarnya.

Menurut Axiata, di bawah Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Ncell telah melabur lebih daripada NPR1.75 bilion dalam pelbagai projek yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan alam sekitar.

“Kedua-dua syarikat tetap komited sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan mereka di Nepal,” katanya.