Tegur Exco agama guna perkataan ‘menyalak’

Facebook Ismail yang memuat naik perkataan ‘menyalak’ diubah kepada ‘berbunyi’ selepas ditegur Ketua Pembangkang DUN Kedah.
Facebook Ismail yang memuat naik perkataan ‘menyalak’ diubah kepada ‘berbunyi’ selepas ditegur Ketua Pembangkang DUN Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegur tindakan Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh yang memuat naik perkataan ‘menyalak’ di Facebook miliknya untuk merujuk kepada ADUN Pas yang membantah kuari di Gunung Pulai.

Muhammad Sanusi berkata, perkataan itu tidak sesuai digunakan bagi merujuk kepada wakil rakyat selain disifatkan tidak beradab kerana perkataan ‘menyalak’ sinonim dengan anjing.

“Dalam Facebook Pengkalan Kundor dakwa pembangkang 'menyalak' seolah-olah pembangkang ni anjing. Soalan tambahan saya, adakah Pengkalan Kundor menghadapi masalah kesihatan?,” katanya yang bangun mencelah ketika Ismail menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berhubung kesesakan di hospital.

Sehubungan itu, Ismail bersetuju menarik balik perkataan berkenaan dari Facebook miliknya.

“Saya tarik balik, saya akan buang perkataan itu,” katanya.

Sementara, Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid ketika ditemui di luar dewan menyifatkan perbuatan itu tidak menggambarkan keperibadian seorang Exco yang memegang portfolio agama.

“Perkataan 'menyalak' digunakan untuk binatang tetapi digunakan untuk merujuk kepada suara pembangkang Kedah. Perbuatan itu sangat naif dan tidak profesional,” katanya.

Menurutnya, tuduhan Ismail bahawa pembangkang sunyi dalam DUN Kedah berhubung isu projek kuari Gunung Pulai juga satu tuduhan tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

“Amat jelas perbahasan isu itu dibangkitkan, kita boleh saksikan siaran langsung persidangan melalui Facebook antaranya ADUN Bayu membahaskan isu itu dan beberapa ADUN turut menyentuh isu sama,” katanya.

Nurul Amin turut mempersoal kelulusan projek berkenaan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri Pas ketika mentadbir Kedah.

“Beliau sebut projek kuari itu diluluskan pada 2012, di zaman Pas memerintah dan BN meluluskan sekali lagi untuk dilaksanakan pada 2014, beliau lupa pada 2012 beliau sendiri adalah Exco kerajaan ketika itu. Menteri Besar pada 2014 ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pemilik projek kuari Yiked Holdings dipengerusikan Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Exco pada 2012,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga individu terlibat secara langsung sejak pemerintahan terdahulu berhubung projek kuari tersebut.

“Seharusnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) turun padang melihat kegusaran rakyat dan kesan negatif yang dijangka berlaku apabila projek itu dilaksanakan. Antaranya, pencemaran udara dan air, kerosakan ekosistem serta kemusnahan khazanah alam,” katanya.

Nurul Amin berkata, amat dikesali apabila kerajaan negeri tidak mengangkat aspek pelancongan di Gunung Pulai, seolah tidak mengutamakan kelestarian alam sekitar.

Sejurus teguran itu, didapati perkataan ‘menyalak’ pada Facebook Ismail telah diubah kepada perkataan ‘berbunyi’.