Penggali kubur warga Indonesia sogok polis RM300

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Cubaan dua penggali kubur warga Indonesia yang cuba menyogok anggota polis dengan harapan kononnya dapat mengelak daripada ditahan hanya sia-sia.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Pandan Ria, di sini semalam, dua anggota polis dari Balai Pandan Indah yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah mengesan dua lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, anggota terbabit telah menahan kedua-dua lelaki itu untuk pemeriksaan.

"Namun kedua-dua lelaki warga Indonesia berusia 43 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

"Malah pemeriksaan motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mereka juga dikesan adalah motosikal curi bersabit kes pada tahun 2018," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Beliau berkata, disebabkan itu suspek kemudian bertindak menyogok anggota terbabit sejumlah RM300.

Katanya, tindakan kedua-dua suspek itu hanya mengundang padah apabila mereka turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek ini positif dadah jenis syabu. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka terlibat dalam kes pecah rumah dan curi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya.