Jangan manipulasi isu tabung wakaf: MAINPP

Surat pekeliling kepada pengurusan masjid yang tular di media sosial.
Surat pekeliling kepada pengurusan masjid yang tular di media sosial.
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meminta isu tabung wakaf sumbangan masjid yang diwujudkan tidak dimanipulasikan dengan kenyataan yang tidak benar.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, keputusan Mesyuarat MAINPP Bil 3/2018 meluluskan cadangan penubuhan tabung tersebut bagi mengumpul dana melalui kutipan pada Jumaat di seluruh masjid di Pulau Pinang untuk membiayai projek pembelian tanah serta hartanah bagi kepentingan Islam.

Menurutnya, penubuhan tabung itu mempunyai agenda dan matlamat yang besar ke arah pembangunan dan kesejahteraan umat Islam di Pulau Pinang.

"Tabung wakaf sumbangan masjid diwujudkan sebagai usaha murni dalam meningkatkan aset masjid. Keunggulan syiar Islam melalui kehebatan institusi masjid madani sudah pasti merujuk wakaf sebagai instrumen kehidupan umat Islam yang kekal hingga ke akhirat.

"Ketika keterbatasan sektor kerajaan dan swasta dalam menambah dan membangunkan aset umat Islam, wakaf perlu digerakkan secara kreatif demi survival ummah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pagi tadi.

Abdul Malik berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat pekeliling kepada pengurusan masjid berkenaan penubuhan tabung wakaf sumbangan masjid negeri yang tular di media sosial

Menerusi kandungan surat itu bertarikh 26 Jun itu, semua masjid di Pulau Pinang diminta menyumbang sebanyak 10 peratus setiap bulan hasil kutipan tabung setiap Jumaat kepada tabung wakaf berkenaan.

Arahan yang berkuatkuasa bulan lalu itu bagaimanapun dibantah beberapa pihak kerana dirasakan tindakan itu tidak wajar berikutan MAINPP mengambil sebahagian daripada kutipan tabung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pihak tersebut membantah dengan alasan wang itu sepatutnya digunakan untuk pengurusan masjid antaranya membayar bil utiliti.

Sehubungan itu, Abdul Malik berkata, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) pindaan tahun 2004 memperuntukkan kuasa MAINPP berhubung dengan kutipan khairat sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 106 (1).

"Di bawah enakmen tersebut, majlis boleh memungut atau dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh majlis. Selain itu, ia membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang, dengan apa-apa terma yang difikirkan patut oleh majlis, memungut wang atau sumbangan lain yang dibenarkan melaluinya bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak.

"Kutipan ini akan diambil sebanyak 10 peratus daripada jumlah kutipan tabung masjid tersebut setiap bulan dan akan dimasukkan ke akaun bank MAINPP oleh pihak jawatankuasa kariah melalui Bank Islam Malaysia Berhad. Bukti pembayaran hendaklah diserahkan kepada Penyelia Kariah, Pejabat Agama Daerah," katanya.

Beliau berkata, bermula 18 Julai lalu, MAINPP telah mengatur perjumpaan dengan kariah masjid mengikut daerah di negeri ini untuk memberi taklimat mengenai penubuhan tabung wakaf tersebut.

"Setakat ini, kita sudah berjumpa dengan kariah masjid di daerah Timur Laut pada 18 Julai, Seberang Perai Selatan pada 31 Julai dan Seberang Perai Tengah pada 3 Ogos. Sepanjang perjumpaan itu, kita tidak menerima bantahan atau pertikaian mengenai penubuhan tabung tersebut.

"Perkara ini dilihat cuba dimanipulasikan oleh pihak tertentu apabila ditular di sosial media. Pihak tertentu ini juga dilihat cuba mencetuskan isu mengenai perkara ini," katanya.

Katanya, sepanjang bulan ini MAINPP akan meneruskan sesi taklimat dan bertemu dengan kariah masjid di daerah yang belum diadakan sesi tersebut dengan anggaran jumlah keseluruhan masjid melebihi 200 buah.