Harapan Pulau Pinang layak ke suku akhir kembali cerah

Pemain Pulau Pinang Julian Bottaro (dua, kiri) meraikan jaringan gol pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Bandaraya malam ini. Foto: Bernama
Pemain Pulau Pinang Julian Bottaro (dua, kiri) meraikan jaringan gol pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Bandaraya malam ini. Foto: Bernama
A
A
A

PASUKAN Pulau Pinang berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Sabah 2-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus mencerahkan harapan skuad Harimau Kumbang untuk melayakkan diri sehingga ke pusingan suku akhir.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, selepas kalah kepada Pahang 1-3 Sabtu lalu, pasukannya turun dengan misi untuk mendapatkan tiga mata dan pemain telah bermain dengan bersemangat untuk mendapatkan gol awal.

"Saya berasa amat bersyukur kerana berjaya mendapat tiga mata tetapi pujian harus diberikan kepada semua pemain Pulau Pinang malam ini yang bermain dengan bersungguh-sungguh kerana Sabah merupakan pasukan yang kuat dari segi fizikal.

"Kemenangan ini akan menaikkan semangat pemain dalam menghadapi perlawanan yang seterusnya bertemu Perak di Ipoh," katanya selepas perlawanan di Stadium Bandaraya malam tadi.

Skuad Harimau Kumbang bermula garang seawal wisel permulaan dengan mengatur serangan pantas ke kawasan pintu gol lawan dan berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke sembilan menerusi rembatan tepat penyerang import Julian Bottaro.

Kedudukan itu bertahan sehingga tamat separuh masa pertama namun sejurus bersambung babak kedua, Sabah berjaya menyamakan kedudukan hasil kesilapan pertahanan Pulau Pinang yang membolehkan Rodoljub Paunovic menjaringkan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-48 selepas dijatuhkan dalam petak penalti.

Dalam kedudukan terikat 1-1, kedua-dua pasukan saling bertukar serangan untuk mencari gol namun tuah menyebelahi pasukan tuan rumah selepas percubaan penyerang Anselmo Casagrande terkena kaki pemain pertahanan Sabah Evan Wensley pada minit ke-73 dan masuk ke dalam gol sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali pasukan Sabah Jelius Ating berkata, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemainnya walaupun gagal mengutip sebarang mata.

"Pulau Pinang adalah satu pasukan yang sedang meningkat naik dan menunjukkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Perdana.

"Malam ini Pulau Pinang bijak menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol dan kesilapan pertahanan kami juga membolehkan mereka mendapat tiga mata penuh," katanya.

Skuad Sabah Rhinos akan menerima kunjungan naib juara Liga Super Pahang dalam perlawanan seterusnya manakala Skuad Harimau Kumbang akan bertandang ke Stadium Perak untuk bertemu Bos Gaurus pada 17 Ogos. - Bernama