Apa nasib Jammu & Kashmir?

Anggota keselamatan berkawal di sekatan jalan raya di Jammu semalam.
Anggota keselamatan berkawal di sekatan jalan raya di Jammu semalam.
A
A
A

NEW DELHI - Rang Undang-undang untuk membahagikan Jammu dan Kashmir (J&K) serta meningkatkan kawalan persekutuan di kawasan itu diluluskan Parlimen India kelmarin selepas Dekri Presiden memansuhkan Artikel 370 yang menghapuskan status khas di wilayah bergolak itu.

Dewan Rendah meluluskan Rang Undang-undang Penyusunan Semula Jammu dan Kashmir yang akan memisahkan kawasan itu kepada Kesatuan Wilayah Jammu dan Kashmir dengan badan perundangan dan Kesatuan Wilayah Ladakh tanpa badan perundangan.

Difahamkan, rang undang-undang tersebut akan dikemukakan kepada presiden selepas ia diluluskan Dewan Pertuanan pada Isnin lalu.

Di bawah Kesatuan Wilayah, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa ke atas beberapa isu pentadbiran.

Kesemua perubahan secara terburu-buru itu dibuat ketika seluruh saluran komunikasi termasuk perkhidmatan telefon dan internet terputus di wilayah tersebut atas alasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mahu mengelakkan protes ganas tercetus disebabkan keputusan itu.

Bagaimanapun, langkah itu menerima reaksi kurang senang banyak pihak termasuk pembangkang.

“Perpaduan negara tidak dapat dicapai dengan keputusan unilateral memisahkan J&K, memenjarakan ahli Parlimen yang dilantik dan melanggar Perlembagaan negara ini.

"Penyalahgunaan kuasa eksekutif ini mempunyai implikasi serius kepada keselamatan negara kita,” kata bekas Presiden Parti Kongres, Rahul Gandhi menerusi Twitter.

Artikel Berkaitan:

Akhbar berbahasa Inggeris, The Hindu turut memberi amaran kesan keputusan tersebut terhadap seluruh India.

“Langkah yang akan menimbulkan ketegangan sosial di India ini tidak hanya memberi kesan kepada J&K malah demokrasi berparlimen.

"Kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) telah melemahkan kuasa Parlimen dalam beberapa situasi sejak 2014,” katanya menerusi editorial.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berikrar untuk melawan keputusan India menghapuskan status khas di wilayah bergolak Kashmir yang didiami majoriti orang Islam.

“Langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa dan saya bimbang akan berlaku pembersihan etnik di Kashmir. Mereka mungkin akan cuba menyingkirkan penduduk tempatan dan membawa masuk ‘orang lain’ untuk menjadikan mereka sebagai etnik majoriti.

“Keadaan itu akan menyebabkan penduduk tempatan terpaksa menjadi hamba,” katanya yang mahu membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan PBB.

Menurutnya, beliau mahu memberitahu satu dunia tentang perkara itu dan akan berbincang dengan ketua negara di setiap forum tentang cubaan India untuk mengubah demografi di wilayah terbabit.

Selain Pakistan, China turut menyuarakan bantahan terhadap keputusan India yang dibuat secara unilateral itu dan menyifatkan ia sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penunjuk perasaan maut ketika dikejar polis semasa perintah berkurung berkuatkuasa di Srinagar.

Jurucakap polis mengesahkan mangsa terbabit terbunuh selepas dia nekad terjun ke dalam sungai Jhelum.

Selain itu, kira-kira enam peserta protes juga dimasukkan ke hospital akibat ditembak dan kecederaan lain. - Agensi