Perak jadikan karnival jualan barangan sekolah acara tahunan

Sivanesan dan Shamsul Nizam menunjukkan perbezaan harga kasut sekolah hitam sempena pemeriksaan barangan keperluan sekolah di Pasar Raya Mydin Meru, hari ini.
Sivanesan dan Shamsul Nizam menunjukkan perbezaan harga kasut sekolah hitam sempena pemeriksaan barangan keperluan sekolah di Pasar Raya Mydin Meru, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak merancang mengadakan karnival jualan kembali ke sekolah secara besar-besaran di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula tahun hadapan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, langkah itu satu cara menangani kenaikan harga kelengkapan sekolah yang sering diadukan pengguna khususnya golongan B40 setiap kali menjelang sesi persekolahan baru.

Menurutnya, menerusi karnival itu, peniaga dapat mempromosikan segala kelengkapan sekolah dan pengguna mempunyai kuasa untuk menilai sendiri harga barangan berkenaan.

"Dari media sosial kita dapat aduan mengatakan harga kasut hitam ada mencecah hingga RM40, ini menyebabkan golongan B40 rasa terbeban, tetapi sebenarnya yang murah pun ada lingkungan RM24, begitu juga pakaian bergantung kepada jenis kain.

"Jadi untuk bantu golongan ini, kita rancang gunakan 15 kawasan PBT di Perak untuk adakan karnival jom ke sekolah yang mana semua kelengkapan akan dipromosikan di situ, biar ada persaingan antara peniaga dan pengguna boleh lihat sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan barangan keperluan sekolah di Pasar Raya Mydin Meru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Shamsul Nizam Khalil.

Sivanesan berkata, untuk peringkat awal, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan persatuan-persatuan pengguna untuk tujuan pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbincangan akan diadakan termasuklah kemungkinan mengenakan caj sewaan yang murah kepada peniaga.

"Jika semuanya setuju, kita akan syorkan agar karnival ini diadakan tahun depan dan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.

"Belum ada lagi karnival seumpama ini dianjurkan mana-mana kerajaan negeri dan Perak akan menjadi yang pertama melaksanakannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP Perak sehingga kini tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga kasut sekolah hitam atau barangan keperluan sekolah.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas 242 premis, hanya lapan notis amaran dikeluarkan, namun jika terdapat peniaga barangan mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil," katanya.