Tuntutan Sabah: Tindakan perundangan ke atas Pusat kurang wajar

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan undang-undang ke atas kerajaan Persekutuan berkaitan isu tuntutan hasil Sabah bukan satu langkah yang wajar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, masih terdapat banyak pendekatan dan pilihan lain boleh diambil dalam usaha menuntut hasil negeri daripada Persekutuan.

“(Tindakan) mengheret ke mahkamah bukanlah satu langkah wajar dan bijak dalam memastikan kita (Sabah) dapat merealisasikan apa sahaja tuntutan kita.

"Masih banyak pendekatan dan pilihan lain yang boleh diambil dalam usaha menuntut hasil negeri,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) yang mencadangkan kerajaan Sabah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan berhubung isu tuntutan hasil Sabah pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah menyedari tuntutan telah dibuat lebih 50 tahun dan sepatutnya ia direalisasikan daripada awal memandangkan perkara tersebut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ia bukan mudah dalam mengurus tadbir (isu tuntutan) dan saya mengarahkan dua badan penting iaitu (Kementerian) Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi untuk meniliti isu ini.

"Ada beberapa isu telah dipersetujui dalam mesyuarat baru-baru ini, namun, adalah lebih baik diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Shafie ketika menjawab soalan asal Jeffrey berkata, usaha kerajaan Sabah ke atas tuntutan kajian semula Pemberian Khas iaitu 40 peratus hasil bersih diperolehi dari Sabah bukan suatu perkara baharu dan kerajaan Sabah akan terus komited menuntut hak sepatutnya untuk rakyat dan negeri ini.

Sikap keterbukaan pimpinan baharu kerajaan Persekutuan memberi peluang dan ruang kepada kerajaan Sabah mengemukakan tuntutan selaras peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63).

Katanya, Jawatankuasa Khas Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bermatlamat menyemak dan membuat syor berhubung pelaksanaan hak dan autonomi Sabah dan Sarawak selaras peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

“Mesyuarat jawatankuasa sepatutnya sudah tamat pada Julai lepas tetapi ia dilanjutkan sehingga Oktober ini untuk berunding dan memperincikan mana-mana perkara berkaitan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, tuntutan kerajaan Sabah adalah berdasarkan peruntukan terkandung di bawah Subsyeksyen 2(1), Bahagian 4, Jadual Ke-10, Perlembagaan Persekutuan iaitu “dua per lima hasil bersih dari Sabah”, definisi “hasil bersih” adalah “hasil terakru kepada Persekutuan, ditolak jumlah diterima negeri dari penyerahan hasil itu”.

Kerajaan Sabah telah mengemukakan satu deraf garis panduan bagi pelaksanaan kajian semula Pemberian Khas lebih berstruktur kepada kerajaan Persekutuan pada 9 Julai lepas dan pada masa ini kerajaan negeri masih menanti maklum balas daripada kerajaan Persekutuan, katanya.

Jeffrey ingin tahu bila kerajaan Sabah akan menuntut tunggakkan RM1 trillion atau 40 peratus hasil bersih diperolehi dari Sabah yang diperuntukan dalam Artikel 112C dan Jadual Ke-10 Bahagian Perlembagaan Persekutuan. - Bernama