Lelaki didakwa terima deposit pelaburan haram RM410,000

Tertuduh ketika tiba di perkarangan Mahkamah hari ini.
Tertuduh ketika tiba di perkarangan Mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit pelaburan haram daripada seorang pelabur berjumlah RM410,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Liza Azmie Md Darus, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Liza Azmie didapati bersetuju untuk menerima deposit daripada Muhamad Adyab Mahadi, 60, berjumlah RM410,000 sebagai satu pelaburan walaupun dia tidak mempunyai lesen di bawah Seksyen (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Dia yang didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 Februari hingga 27 Mac 2015 di sebuah bank di Bahau dituduh mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menyalah guna wang pelaburan berjumlah RM410,000 milik Muhamad Adyab untuk melabur dalam satu skim pelaburan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang tidak wujud di sebuah bank di Bahau pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman meminta mahkamah memberi jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Zali Shaari kemudiannya merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anaknya selain ibu bapanya yang sakit.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan turut menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen.