Alumni UPM gesa tangguh lantikan Pengerusi LPUPM

Raihan memegang kenyataan media pada sidang media Penjelasan Pemendekkan Kontrak Lantikan Lembaga Pengerusi Universiti Putra Malaysia di Bangunan TNCPI UPM hari ini. : Foto - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Raihan memegang kenyataan media pada sidang media Penjelasan Pemendekkan Kontrak Lantikan Lembaga Pengerusi Universiti Putra Malaysia di Bangunan TNCPI UPM hari ini. : Foto - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SERDANG - Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan pelantikan baharu Pengerusi Lembaga Pengarah UPM (LPUPM) sehingga siasatan salah laku pegawai tinggi universiti itu.

Presiden Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif berkata, mereka sehingga hari ini masih menanti maklum balas daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung tindakan memendekkan pelantikan lantikan Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail sebagai Pengerusi LPUPM.

"Kami bukan persatuan alumni yang melawan kerajaan, kami cuma mahu Syed Razlan diberikan keadilan.

"Tapi kami tak salahkan Menteri Pendidikan buat keputusan tidak tepat begini, mungkin beliau (Maszlee) buat keputusan berdasarkan maklumat tidak menyeluruh.

"Hal demikian, kami desak supaya lantikan Pengerusi LPUPM baharu ditangguhkan dahulu, tunggu siasatan selesai supaya pengganti boleh ambil alih jawatan dalam keadaan lancar," katanya pada sidang media di UPM hari ini.

Raihan Sharif. Foto - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Raihan Sharif. Foto - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Selain itu, Raihan turut memberitahu Alumni UPM juga telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan ini, memandangkan Menteri Pendidikan tidak melayani persoalan mereka.

"Pemakluman memendekkan tempoh lantikan kepada Syed Razlan yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan bertarikh 17 Julai lalu tidak mencerminkan teras falsafah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berlandaskan ketelusan dan 'rule of law'.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, Maszlee telah melantik Syed Razlan sebagai Pengerusi LPUPM untuk tempoh tiga tahun berakhir 30 September 2021 cuma 10 bulan dari tarikh lantikan 1 Oktober 2018 tanpa sebarang alasan yang jelas dan tidak diberi ruang untuk berbincang seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan yang besar," katanya.

Raihan menjelaskan, melalui surat bertarikh 20 Jun 2019 daripada Kementerian Pendidikan (Bahagian Governan) telah mengarahkan Syed Razlan menjalankan siasatan ke atas salah laku tiga orang pegawai tinggi UPM dan atas arahan tersebut beliau telah mengambil inisiatif memulakan siasatan salah laku berkenaan.

"Oleh itu, kami (Alumni) percaya tindakan Menteri Pendidikan memendekkan pelantikan Syed Razlan dan sekali gus melantik seorang pengerusi baharu dalam surat lain juga bertarikh 17 Julai 2019.

Raihan bercakap pada sidang media Penjelasan Pemendekkan Kontrak Lantikan Lembaga Pengerusi Universiti Putra Malaysia di Bangunan TNCPI UPM hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Raihan bercakap pada sidang media Penjelasan Pemendekkan Kontrak Lantikan Lembaga Pengerusi Universiti Putra Malaysia di Bangunan TNCPI UPM hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Berkemungkinan besar dibuat berdasarkan nasihat yang salah dan membuat tindakan tidak tepat.Kami yakin dan percaya ada komplot untuk melindungi mereka yang terbabit dalam salah laku governan UPM.

"Kami juga difahamkan bahawa pada masa yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sendiri, berdasarkan maklumat orang awam, telah membuat lawatan mengejut ke atas anak syarikat UPM tersebut.

"Beberapa dokumen dan maklumat penting berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu," dakwa persatuan itu.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menjelaskan, pertimbangan profesional demi kepentingan UPM merupakan sebab utama memendekkan kontrak perkhidmatan Syed Razlan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti tersebut diambil.