Penduduk nafi bertelingkah ketika mesyuarat

Antara gambar yang tular dengan keterangan berbaur provokasi.
Antara gambar yang tular dengan keterangan berbaur provokasi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini menarik nafas lega apabila cadangan pembinaan surau sejak 2017 akan diteruskan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sutera Wangi, Mohd Syafiq Abd Rahman berkata, keputusan itu diperoleh selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee di Kompleks Japerun Ayer Keroh malam tadi.

Bagaimanapun, beliau menafikan berlaku pertelingkahan seperti mana tular di media sosial kerana perbincangan berjalan lancar dengan menggunakan kaedah menang-menang bagi mencari kesepakatan di antara penduduk yang berbeza agama.

Menurutnya, walaupun cadangan pembinaan itu ditukarkan ke lokasi lain, namun masih dalam kawasan taman tersebut dan lebih luas berbanding cadangan tapak asal.

"Perbincangan berjalan lancar. Kami bagi pihak persatuan bersyukur atas apa yang telah diputuskan dalam perbincangan yang diadakan secara profesional dalam mendapat kata putus kedua-dua pihak.

"Apa yang penting madrasah ini dapat dibina walaupun beralih tidak jauh dari tapak asal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Syafiq mewakili penduduk berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan surau tersebut yang boleh menjadi medium untuk penduduk menjalankan aktiviti kemasyarakatan demi mengeratkan ukhuwah.

"Harapan kami agar proses pembinaan ini tidak mengambil masa lama kerana banyak aktiviti akan dilaksanakan, lebih-lebih lagi apabila penduduk semakin bertambah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perbincangan yang diadakan di Kompleks Japeru Ayer Keroh berjalan lancar tanpa pertelingkahan malam tadi.
Perbincangan yang diadakan di Kompleks Japeru Ayer Keroh berjalan lancar tanpa pertelingkahan malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Azhan Md Samat berkata, pihaknya tidak menerima aduan berlaku pergaduhan atau bantahan berhubung cadangan membina surau tersebut seperti mana tular di media sosial.

Tambahnya, orang ramai perlu berhenti menularkan berita yang tidak sahih dan boleh menggugat perpaduan kaum.

"Berbincanglah dengan cara dewasa, matang dan berhemah, bukan sebarkan maklumat yang mungkin telah ditokok tambah.

"Ada segelintir orang memang suka menangguk di air keruh, ambil kesempatan dengan isu seumpama ini, katanya.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar mengenai mesyuarat yang diadakan bagi membantah pembinaan surau dengan keterangan berbaur provokasi.