Mengejar gunung yang tak lari

A
A

DALAM sebulan, pasti akan timbul spekulasi mengenai apakah Tun Mahathir Mohamad akan meletakkan jawatan Perdana Menteri dan menyerahkan tugasnya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apabila persoalan ini kian hangat diperkatakan, Dr Mahathir akan diasak para wartawan dengan soalan yang membawa maksud, ‘bila lagi?’

Berulang kali jugalah beliau menjawab yang beliau sudah berjanji untuk melepaskan jawatannya dan menyerahkan kepada Anwar.

Baru sahaja jawapan itu memuaskan hati semua pihak, pembawang politik menghangatkan keadaan semula dengan soalan yang serupa buat ke sekian kalinya.

Seolah-olah jawapan Dr Mahathir itu mempunyai tarikh luput. Setelah sebulan, jawapan yang Dr Mahathir berikan itu sudah lemau dan perlu jawapan yang baharu, meskipun intinya serupa.

Paling terkini, Dr Mahathir terpaksa berkata, beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu seandainya ‘ada seseorang yang mengacu pistol ke kepalanya’ untuk memuaskan hati mereka yang bertanya.

Kadangkala, kita ini berfikiran dangkal walaupun kita ini orang yang bijak. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri Malaysia. Hanya beliau seorang yang menjadi Perdana Menteri.

Semua orang akan nampak dia sebaik sahaja dia meninggalkan kediamannya. Di mana-mana sahaja berduyun-duyun orang mengekorinya. Kamera dan video sentiasa tersasar ke batang tubuhnya.

Beliau seolah-olah menjadi seorang watak siri televisyen realiti.

Jadi, hampir mustahil beliau akan melakukan sesuatu yang di luar kata-katanya sendiri.

Tambahan pula, sudah banyak juga foto beliau bersama dengan Anwar yang bersalaman diiringi kapsyen yang membawa maksud Dr Mahathir tidak akan memungkiri janji. Justeru, apa lagi yang hendak diragukan?

Jika kita duduk diam-diam, saat itu akan tiba dan kita akan saksikan pengisytiharan Dr Mahathir sendiri untuk melepaskan jawatannya dan menyerahkannya pula kepada Anwar.

Masa tidak akan berputar kembali. Ia akan datang juga nanti.

Tapi, jika timbul kata-kata bahawa Dr Mahathir sedang menyiapkan Datuk Mohamed Azmin Ali untuk menggantikannya ataupun Dr Mahathir patut memimpin sehingga habis penggal, siapakah yang boleh memberi bukti bahawa Dr Mahathir akan bertindak begitu? S

etakat ini, para penganalisis politik pun hanya berani berspekulasi, bukannya teori bersama bukti bahawa Dr Mahathir sememangnya tidak mahu Anwar menggantikannya.

Namun sebenarnya, cerita ini hanya berkisar dalam kalangan para peminat politik sahaja. Di luar gelanggang itu, orang ramai tidak kisah. Dalam apa jua aktiviti manusia, hanya mereka yang meminati bidang itu yang makan tidur bergelumang dengan apa yang diminatinya itu.

Samalah juga seperti permainan bola sepak. Yang meminati bola sepak akan menonton dengan penuh khusyuk. Setiap gerak dan gelecek sudah menimbulkan bayang seolah-olah bola di kaki pasti akan melayang menembusi gawang lawan, meskipun si pemain baru sahaja mendapat bola daripada si penjaga gol pasukannya.

Untuk mereka yang tidak meminati bola sepak, mereka tidak ke stadium pun. Malah, seandainya satu keluarga menonton bola sepak di ruang tamu, dia hanya menoleh ke kaca televisyen apabila kedengaran sorakan jaringan gol. Malah, yang tidak meminati bola sepak hanya akan menonton klip video jaringan gol pada akhir siaran berita di TV.

Perasan atau tidak perangai si peminat kereta menanti lampu trafik bertukar daripada merah kepada hijau? Enjin dideramkan setiap kali dia perasan kereta di sebelahnya bergerak walau sedikit. Tunggu sahajalah. Lampu merah tetap akan bertukar merah bila sampai masanya.

Yang kelakarnya kita mungkin pernah mengalami momen-momen menanti kekasih. Sekejap-sekejap menekur melihat jam. Sekejap-sekejap meneliti telefon sama da ada mesej baharu daripada si kekasih.

Setiap penumpang yang keluar dari tren akan diperhati. Mana tahu, barangkali si kekasih hati akan tiba sejam lebih awal daripada yang dijanjikan? Orang tua kata, bersabarlah. Takkan lari gunung dikejar.

Benarlah, hidup ini suatu penantian. Tetapi penantian akan menjadi siksa jika kita terus ingat untuk menanti. Seandainya kita melupakan mode fikiran untuk menanti, dan sebaliknya membenarkan masa bergerak mengikut temponya, kita tidak akan stres.

Maaf cakap... kita semua tidak mempunyai cukup masa untuk digunakan. Jadi, tidak perlulah kita sempitkan masa yang ada dengan memaksa kejadian masa depan untuk terjadi pada saat ini.

Bukankah segala-galanya telah ditentukan kerana ia adalah hal qada dan qadar.

* Norden Meohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.