Najib tak izin delegasi MOF, KWAP, BNM ke Switzerland: Ahmad Husni

Ahmad Husni
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengizinkan delegasi Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dihantar ke Switzerland bagi membuktikan wang dibekukan adalah wang pinjaman daripada KWAP.

Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-56 berkata beliau dimaklumkan bahawa terdapat dana pelaburan SRC International Sdn Bhd yang disimpan di sebuah bank di Switzerland telah dibekukan oleh kerajaan Switzerland atas kesalahan pengubahan wang haram.

"Saya kemudiannya pergi bertemu dengan Datuk Seri Najib dan meminta keizinan beliau untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan KWAP untuk membawa dokumen-dokumen bagi membuktikan bahawa wang tersebut adalah pinjaman daripada KWAP dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan AMLA.

"Namun, YAB PM tidak memberikan persetujuan kepada saya untuk bertindak sedemikian,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Katanya beliau juga dirujuk kepada satu dokumen iaitu "Letter of Guarantee Issued By Government of Malaysia in Favour of Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)” bertarikh 26 Ogos 2011.

"Saya sahkan bahawa ini merupakan surat jaminan kerajaan yang saya tandatangan seperti mana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” katanya.

Ahmad Husni, 67, berkata Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Nor Mohamed Yakcop telah diluluskan dan persetujuan diberikan untuk memberikan jaminan tersebut.

Katanya pegawai di Kementerian Kewangan telah menyediakan surat jaminan kerajaan untuk beliau tandatangan atas kapasiti Menteri Kewangan II.

"Saya mendapat tahu daripada pegawai MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) bahawa sejumlah RM4 bilion iaitu keseluruhan pinjaman daripada KWAP antaranya digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, pelaburan sumber asli di Mongolia dan Simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong.

"Saya pada waktu itu, saya tidak dirujuk dan tidak diberikan sebarang dokumen mengenai SRC dan pelaburan tersebut, walaupun melalui pegawai saya yang telah meminta daripada SRC.

"Saya telah meminta Dr Isa, ketika itu Setiausaha Bahagian Pelaburan (Kementerian Kewangan) untuk membuat lawatan ke Jawa untuk memastikan kewujudan pelaburan tersebut, tetapi Dr Isa ( Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain) tidak pergi,” katanya.

Beliau berkata pertama kali beliau mengetahui tentang permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 bilion dari KWAP dan pinjaman itu hendaklah dijamin daripada kerajaan Malaysia adalah sewaktu pembentangan kepada mesyuarat jemaah menteri oleh Nor Mohamed Yakcop yang menandatangani dan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berkenaan dengan permohonan tersebut.

Katanya selepas dari itu, beliau telah menemui Najib untuk membangkitkan tentang tujuan memberi pinjaman yang begitu besar kepada SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Najib bahawa syarikat ini bertujuan supaya bidang tenaga elektrik ini diperkasakan dengan adanya pemilikan oleh syarikat milik kerajaan yang mempunyai penglibatan dalam perlombongan arang batu.

"Saya kemudiannya telah menyatakan kepada Datuk Seri Najib bahawa perlombongan arang batu ini biarlah melibatkan sektor swasta semata-mata dan bukannya oleh syarikat milik kerajaan.

"Datuk Seri Najib menyatakan bahawa hanya dengan penglibatan kerajaan dalam perlombongan arang batu akan dapat memperkasakan bidang tenaga elektrik,” katanya yang ditugaskan untuk mengurus dasar fiskal serta menjalankan kuasa di bawah lain-lain Akta termasuk Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957.

"Dalam menjalankan kuasa ini, tiada perbezaan antara jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II," jelasnya.

Beliau berkata antara tugas-tugas beliau sebagai Menteri Kewangan II adalah untuk menguruskan penyediaan, kelulusan, pelaksanaan, dan pemantauan belanjawan negara dan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dari masa ke semasa, yang mana pada waktu beliau menyandang jawatan itu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Najib.

Katanya beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan II oleh Najib pada 2009 dan pada 27 Jun 2016 beliau telah meletakkan jawatan.

Selepas selesai memberi keterangan dan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan sama ada beliau mengenali Najib, saksi itu berkata "sekiranya beliau ada di dalam mahkamah, saya boleh camkan.”

Beliau kemudiannya menoleh ke belakang ke arah Najib yang duduk dalam kandang tertuduh dan berkata: ”Ha, itu dia di belakang, yang selalu senyum,” yang kemudiannya mengundang ketawa dari semua pihak dalam mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia