Sultan Nazrin, Tuanku Zara mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim
A
A
A
GEORGETOWN - Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Pulau Pinang bermula esok.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, baginda berdua dijangka berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 1.15 tengah hari esok.

Beliau berkata sejurus ketibaan, baginda berdua berkenan menerima menghadap Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Pada sebelah malam, baginda berdua akan diraikan oleh kerajaan negeri pada Majlis Santapan Malam yang dijangka turut dihadiri Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff.

Pada Jumaat, Sultan Nazrin berkenan untuk mengurniakan watikah kepada 10 anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta 24 hakim dan pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang.
Artikel Berkaitan:


Baginda kemudian dijadualkan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Gelugor sebelum berangkat ke ibu negara bersama-sama Tuanku Zara.

"Sesungguhnya patik mewakili sekalian hamba rakyat negeri Pulau Pinang menjunjung kasih ke atas perkenan Tuanku berdua serta mengampuni untuk berangkat mencemar duli ke negeri Pulau Pinang.

"Keberangkatan ini sesungguhnya merapatkan hubungan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di samping mengukuhkan lagi institusi diraja dan kalangan hamba rakyat," kata Ahmad Zakiyuddin. - Bernama