Guna dua bakteria hasil keledek berkualiti

Husam (tengah) bersama Mohamad Roff (tiga dari kiri) dan peserta Seminar Teknikal Mardi-KADA di Kota Bharu hari ini.
Husam (tengah) bersama Mohamad Roff (tiga dari kiri) dan peserta Seminar Teknikal Mardi-KADA di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka memperkenalkan dua jenis bakteria baik iaitu ‘endophyte’ dan ‘rhizosfera’ untuk meningkatkan kualiti tanaman keledek di negeri ini.

Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa berkata, sebagai contoh keledek manis Jepun bukan bergantung kepada bakanya sahaja namun kualitinya ditingkatkan melalui dua jenis bakteria tersebut.

Menurutnya, KADA berhasrat untuk membuat kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membawa bakteria itu ke Kelantan.

“Kita tahu daerah Bachok khususnya sinonim dengan penanaman keledek, jadi saya berhasrat membawa dua bakteria itu ke sini bagi meningkatkan kualiti dan hasil keledek kita. Justeru, saya harap MARDI dapat bantu kita untuk realisasikan hasrat ini.

“Satu lagi yang saya nak ketengahkan ialah produk jeruk salak. Di sini ramai rakan saya yang dah tebang pokok salak sebab kita tak tahu nak komersialkan produk berasaskan buah salak. Kita buat jeruk pun tak berapa menjadi.

"Saya lihat jeruk cara Indonesia diolah lebih baik dan menarik. Jadi kalau boleh kita pelajari teknologi jeruk salak mereka untuk dibuat di sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Teknikal MARDI - KADA di Auditorium KADA di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Seminar itu diadakan bagi menyampaikan teknologi pertanian MARDI kepada ejen pengembangan KADA untuk disampaikan kepada petani dan usahawan di samping mendapatkan maklum balas daripada golongan sasar terhadap keperluan penyelidikan MARDI berkaitan teknologi pertanian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Roff berkata, MARDI sedia bekerjasama dengan institut teknologi di Bandung bagi mengenal pasti jenis bakteria atau kulat yang bersesuaian untuk meningkatkan hasil pertanian negara ini.

Katanya, sekiranya mereka mendapat jenis bakteria itu ia berkemungkinan boleh dicari dalam persekitaran negara ini.