Surat sokong Anwar bentuk persepsi negatif

Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
A
A
A

IPOH - Tiada keperluan kepada mana-mana ketua cabang PKR di negara ini menandatangani surat sokongan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjadi nakhoda utama sekali gus calon Perdana Menteri ke-8.

Sebaliknya, Ketua PKR cabang Parit Buntar, Abdul Yunus Jamhari menegaskan tindakan sedemikian rupa hanya akan membentuk persepsi negatif rakyat dan ahli akar umbi terhadap PKR serta Anwar sendiri.

Menurutnya, pihaknya turut membidas tindakan segelintir pihak yang cuba mengheret pemimpin dan anggota parti demi memenuhi muslihat peribadi.

"Usah diheret pimpinan dan anggota (PKR) demi muslihat peribadi.

"Jangan hancurkan muafakat yang telah dibentuk sekian lama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR mengumpul tandatangan ketua cabang parti itu di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Terdahulu, Abdul Yunus yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak bersama Ketua Wanita PKR Perak, Chua Yee Ling tidak tersenarai antara 24 Ketua Cabang PKR Perak yang menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh Presiden parti itu sebelum ini.

Abdul Yunus juga Exco Perak sebelum ini telah menyatakan pendirian teguh bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sokongan tersebut turut menjadi punca kepada tuduhan suapan melalui satu laporan polis yang dibuat oleh Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean.

Manakala Yee Ling yang juga Ketua Cabang Bukit Gantang adalah merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, tercetus pergeseran antara Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas tersebar video intim yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Azmin menafikan sebagai pelaku dalam video itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus turut menolak spekulasi Azmin bakal menyertai parti lain dalam masa terdekat setelah dikatakan berlaku kemelut dalaman PKR sebelum ini.

Menurutnya, dakwaan Azmin yang dikaitkan dengan Gerakan tidak berasas kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memiliki rekod cemerlang dalam perkhidmatan parti dan kerajaan serta tidak pernah tewas dalam pemilihan PKR.