'Semua mengikut peraturan mesyuarat'

Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - 'Apa yang saya jalankan adalah mengikut seperti yang termaktub dalam peraturan mesyuarat', demikian reaksi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,

Ng Suee Lim apabila menjawab isu penangguhan Sidang DUN Selangor yang hanya berlangsung selama dua hari.

Sue Lim berkata, persidangan yang berlangsung baru-baru ini tidak berjalan dengan begitu rancak serta tidak banyak soalan yang perlu dibahaskan.

"Sebenarnya begini, kalau wartawan ada hadir ketika hari itu (persidangan) akan nampak siapa yang bangun kita bagi bahas, tapi tak ramai ahli-ahli dewan yang nak bahas.

"Saya sebagai speaker mengendalikan perjalanan mesyuarat dengan tertib mengikut agenda urusan mesyuarat yang ditetapkan. Kita guna peraturan tetap 15(1), kerajaan kena bawa usul menangguhkan dewan tapi kalau urusan masih ada, tangguh keesokan harinya," katanya.

Menurutnya, dakwaan penangguhan dilakukan bagi menghalang Exco Agama Islam iaitu Menteri Besar sendiri daripada membentangkan satu rang undang-undang (pindaan) kemasukan agama Islam adalah andaian semata-mata.

"Saya minta perkara seperti ini tidak timbul, ini semua andaian.

"Kita beri peluang kepada semua, saya nampak isu ini sengaja dijadikan sebagai satu peluang untuk menyerang kerajaan negeri. Semua dilakukan mengikut peraturan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, penangguhan Sidang DUN Selangor selepas hanya dua hari berlangsung menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Mengikut jadual, persidangan sepatutnya berlangsung selama sembilan hari bermula 29 Julai hingga 9 Ogos, namun mesyuarat yang bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari sehingga Rabu.

Sehingga kini punca Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kedua itu ditangguhkan tidak dapat dipastikan.