PRN: Amanah sasar tanding 12 kerusi DUN Selangor

Abbas (tiga dari kanan) bersama ahli baharu pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian Amanah di Desa Coalfields, di sini pada Rabu malam.
Abbas (tiga dari kanan) bersama ahli baharu pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian Amanah di Desa Coalfields, di sini pada Rabu malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan bertanding 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat.

Ahli Jawatankuasa Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, perkara itu sudah dibawa kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, sasaran itu melibatkan lapan kerusi disandang parti parti itu termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Meru.

"Kita menyasarkan tambahan beberapa kerusi lagi termasuk di DUN Jeram yang sebelum ini dimenangi Bersatu mewakili PH tetapi keluar daripada gabungan dan Amanah telah menjadi Penyelaras di DUN Jeram bagi mewakili kerajaan negeri," katanya pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian Amanah di Desa Coalfields, di sini pada Rabu malam.

Pada program itu, beliau menerima sebanyak 50 borang ahli baharu Amanah Cawangan Saujana Aman.

Abbas yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah berkata, pembahagian kerusi itu bagaimanapun tertakluk kepada pucuk pimpinan bagi memuktamadkan agihan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, Amanah turut menyasarkan seramai 30,000 ahli baharu parti itu di Selangor tahun ini.

Beliau memberitahu, setakat ini Amanah mempunyai seramai 17,800 keahlian dan jumlah itu tidak termasuk ahli baharu.

"Peningkatan itu berdasarkan kepada prestasi positif Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri yang menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat," ujar beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Amanah memenangi lapan kerusi iaitu di Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Klang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer.