Stulang Laut: Mahkamah benar dua responden ditukar

Poh Lai (tengah) bersama sebahagian pihak plaintif ketika ditemui di mahkamah tinggi sivil di sini hari ini.
Poh Lai (tengah) bersama sebahagian pihak plaintif ketika ditemui di mahkamah tinggi sivil di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi Sivil, di sini membenarkan 51 orang asli Seletar yang memfailkan permohonan semakan mandamus berhubung isu tuntutan pampasan tanah mereka di Stulang Laut untuk menukar dua nama dalam senarai pihak responden mereka.

Dua responden baharu itu melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, manakala dua responden sebelum ini iaitu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (kini Majlis Bandaraya Iskandar Puteri) dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor digugurkan.

Peguam kes, Tan Poh Lai berkata, permohonan itu akan difailkan pada 17 September depan iaitu tarikh sebutan akan datang.

Difahamkan, prosiding kes untuk menggesa pihak bertanggungjawab membayar pampasan tanah sejak 2010 itu sudah memasuki fasa kehakiman mandamus.

“Kehakiman mandamus ini banyak isu teknikal, jadi kita akan menambah dua responden baharu selepas dibenarkan Hakim, See Mee Chun hari ini.

“Senarai responden baharu ini selepas kita mengambil kira alasan dua pihak sebelum ini yang tidak mempunyai kuasa dan terlibat dalam kawasan tanah disebutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Sivil di Menara MSC Cyberport, di sini hari ini.

Poh Lai berkata, pada Jun lalu, mahkamah menggalakkan pihak responden membuat rundingan bersama pihak plaintif berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Rundingan telah dibuat oleh kerajaan negeri yang diwakili Exco. Bagaimanapun sehingga kini, hanya satu pertemuan sahaja dilakukan.

“Antara pengisian dikemukakan adalah membincangkan semula nilai pampasan memandangkan sebelum ini, mereka (plaintif) hanya ditawarkan RM5,000 sahaja setiap seorang dan itu tidak berpatutan untuk nilai tanah berkenaan kini,” katanya.

Untuk rekod, kesemua plaintif sebelum ini dibenarkan memfailkan semakan kehakiman mandamus selepas gagal menerima pampasan ke atas tanah mereka di Stulang Laut pada 2010.

Tiga pihak kemudiannya difailkan sebagai responden iaitu Pengarah Tanah dan Galian Johor, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Sivil, di sini turut memerintahkan semua plaintif dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 iaitu pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang.