Perintah berkurung berkuat kuasa di Kashmir

Anggota paramilitari India berkawal di Srinagar, ibu kota Kashmir ditadbir India pada 4 Ogos lalu. - Foto AFP
Anggota paramilitari India berkawal di Srinagar, ibu kota Kashmir ditadbir India pada 4 Ogos lalu. - Foto AFP
A
A
A

SRINAGAR - Pihak berkuasa Kashmir ditadbir India meletakkan sebahagian besar rantau bertelingkah itu dalam perintah berkurung awal hari ini ketika pihak berkuasa menghantar puluhan ribu askar tambahan dan menuduh Pakistan punca pertembungan di sempadan kedua-duanya.

Ketegangan terbaharu bermula 10 hari selepas New Delhi mengerahkan sekurang-kurangnya 10,000 tentera, namun sumber keselamatan memberitahu AFP, seramai 70,000 tentera tambahan telah dikerahkan ke wilayah berkenaan.

"Seperti yang diarahkan, tiada pergerakan awam dibenarkan dan semua institusi pendidikan terus ditutup.

"Tiada sebarang perjumpaan atau himpunan awam dibenarkan sepanjang perintah berjalan," kata arahan kerajaan kepada Srinagar, ibu kota Kashmir ditadbir India dan kawasan sekitarnya menerusi kenyataan diperoleh oleh AFP.

Universiti, sekolah dan kolej di wilayah Jammu yang didominasi penduduk Hindu turut diarah tutup dan sebuah daerah di wilayah terbabit dikenakan perintah berkurung.

Media tempatan melaporkan, beberapa daerah utama di negeri majoriti penduduk Muslim turut dikenakan perintah sama.

Wartawan AFP melaporkan, rangkaian telekomunikasi termasuk perkhidmatan internet turut diputuskan dan hanya satu rangkaian mudah alih persendirian milik kerajaan masih beroperasi.

Seorang pegawai kanan memberitahu AFP, hampir 300 pegawai pentadbiran dan pegawai keselamatan tertinggi dibekalkan dengan telefon satelit.

Artikel Berkaitan:

Sebelum rangkaian telekomunikasi diputuskan, bekas pemimpin kanan dan pemimpin politik terkini Kashmir menyatakan menerusi laman Twitter bahawa mereka dikenakan tahanan rumah.

"Saya percaya saya dikenakan perintah tahanan rumah dan proses tersebut telah bermula untuk pemimpin yang lain," kata Omar Abdullah, bekas ketua menteri Jammu dan Kashmir menerusi Twitter.

Kali terakhir larangan sama dikenakan di wilayah berkenaan ialah pada tahun 2016 susulan pembunuhan ketua pemberontak terkenal sekali gus mencetuskan protes jalanan selama berbulan-bulan yang meragut hampir 100 nyawa. - AFP