Lanjut permit Lynas bukan keputusan paling ideal: Menteri

Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan untuk melanjutkan permit operasi Lynas sehingga enam bulan lagi bukanlah keputusan paling ideal, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin.

Memetik laporan sebuah portal berita, Bee Yi bagaimanapun berkata, keputusan itu jauh lebih baik daripada keadaan sekarang.

“Kabinet telah mengambil perhatian tentang isu ini tapi beberapa orang ada pandangan yang berbeza. Oleh itu, keputusan telah pun dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan masih tunggu cadangan Lynas berhubung sisa buangan: PM

“Apa saya boleh katakan ialah keputusan yang dicapai bukan yang paling ideal bagi sayalah. Bukan paling ideal tapi lebih baik daripada status quo. Lebih baiklah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Karnival Minggu Sains Negara 2019 di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Bee Yin diminta mengulas sama ada Lynas dibenarkan menyimpan sisa penulenan air larut lesap (WLP) di Malaysia atau pun tidak berikutan laporan bahawa kabinet telah mencapai keputusan menggugurkan syarat yang diumumkannya agar Lynas menghantar sisa WLP keluar dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bakri itu berkata, keputusan Kabinet akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos melalui satu kenyataan media.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang diumumkan perdana menteri adalah sebahagian daripada apa yang kita bincangkan. Ulasan kementerian dan pandangan peribadi saya telah dibentangkan kepada Kabinet. Anggota jemaah menteri lain pun melontarkan pandangan mereka.

“Keputusan Kabinet telah dicapai melalui majoriti,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan masih menunggu cadangan Lynas dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi termasuk tempat mereka akan melakukan pelupusan sisa.

Kerajaan dijangka melanjutkan permit operasi kilang pengeluaran nadir bumi selama enam bulan bagi memperbaharui permitnya yang akan berakhir 2 September.