'Kami tak pernah keluar bandar'

Seramai 60 pelajar SK Balar teruja pertama kali menyertai lawatan sambil belajar ke tiga negeri.
Seramai 60 pelajar SK Balar teruja pertama kali menyertai lawatan sambil belajar ke tiga negeri.
A
A
A

GUA MUSANG - Rata-rata pelajar di kawasan pedalaman orang asli tidak pernah keluar dari penempatan mereka kecuali ke sekolah sahaja.

Salah satu sekolah pedalaman, Sekolah Kebangsaan (SK) Balar terletak 90 kilometer (km) dari bandar Gua Musang dan rata-rata pelajarnya tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar apatah lagi ke tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, dengan inisiatif pengurusan sekolah terutamanya Guru Besar, Ab Hadi Sulaiman, seramai 60 pelajar dari Tahun Empat hingga Enam diberi peluang untuk menyertai lawatan sambil belajar di tiga kawasan iaitu Cameron Highland, Tambun dan Pulau Pinang.

Menurut salah seorang pelajar, Rafisa Alik, 11, dari Kampung Belatim, sepanjang hayatnya dia tidak pernah mengenali kawasan lain termasuk bandar Gua Musang.

Katanya, lawatan sambil belajar ke tiga negeri selama empat hari itu menjadi pengalaman pertamanya bersama rakan-rakan lain.

"Kami tidak pernah keluar ke bandar apatah lagi ke tempat lain. Bila guru beritahu kami akan dibawa dalam lawatan sekolah, kami sangat gembira dan teruja.

"Paling tidak dapat dilupakan adalah pengalaman ke Lost World of Tambun. Kami dapat main semua permainan di sana dan ia sangat seronok," katanya.

Sementara itu, Ab Hadi memberitahu, sejak tiga tahun lalu, pelajar sekolahnya tidak pernah terlibat dalam mana-mana lawatan sambil belajar.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, program yang bermula dari 27 hingga 30 Julai itu berjalan dengan lancar. Kami dapat lihat kegembiraan anak-anak menerusi keterujaan mereka.

"Anak-anak di pedalaman tidak seperti di kawasan bandar yang sudah biasa dengan persekitaran serta percutian keluarga ke kawasan-kawasan tarikan.

"Apabila pihak sekolah mengadakan lawatan sebegini, ia memberi makna dan kenangan manis buat mereka. Insya-ALLAH, sekiranya ada peluang, kita akan adakan lagi program sebegini," katanya lagi.