Raja Muda Selangor rasmi SIIAF 2019

Tengku Amir tiba di program SIIAF 2019 di Taman Botani Negara Shah Alam hari ini.
Tengku Amir tiba di program SIIAF 2019 di Taman Botani Negara Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan Festival Kesenian Pribumi Antarabangsa Selangor (SIIAF) 2019 di Taman Botani Negara di sini hari ini.

Baginda tiba pada jam 2.30 petang diiringi Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Pada majlis itu, Tengku Amir menyaksikan acara pembukaan menghimpunkan tarian kebudayaan kaum Pribumi domestik dan antarabangsa sebelum melawat galeri pameran.

Abdul Rashid berkata, festival berlangsung selama dua hari bermula hari ini memasuki edisi kelima melibatkan penyertaan seramai 130 orang kaum Pribumi.

"Tahun ini kita menerima penyertaan memberangsangkan dari suku kaum orang asal termasuk Afrika, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.

"Sementara domestik memaparkan kaum Mah Meri dan Temuan dari Selangor, Semai (Perak), Seletar (Johor) dan Borneo Sabah serta Sarawak," katanya.

Beliau berharap festival di bawah Tourism Selangor itu memberi impak dan memajukan sektor pelancongan negeri.

Artikel Berkaitan:

Persembahan kaum Pribumi dalam acara pembukaan SIIAF 2019 di Taman Botani Negara Shah Alam hari ini.
Persembahan kaum Pribumi dalam acara pembukaan SIIAF 2019 di Taman Botani Negara Shah Alam hari ini.

"Statistik jumlah kedatangan pelancong di Selangor tahun lalu mencatatkan sebanyak 7.23 juta pelancong. Tahun ini Selangor sasarkan 7.7 juta pelancong dan tahun seterusnya seramai 7.9 juta orang.

"Dengan adanya promosi pelancongan peringkat negeri seperti Discover Selangor #TakeMeAnywhere dan kempen melawat Malaysia 2020, kita harap sasaran itu dapat dicapai dan meningkatkan ekonomi pelancongan Malaysia khususnya di Selangor," katanya.

SIAAF 2019 membolehkan warga kota dan pelancong luar mempelajari adat budaya, pakaian tradisional, karya seni dan kraf secara lebih dekat.

Edisi kali ini membawa kelainan dengan acara Recreational Orang Asal Run (Roar) 2019 berlangsung esok yang menerima 600 penyertaan.