Himpunan bantah khat jawi bersifat cauvinis, rasis: Asyraf Wajdi

Dr Asyraf Wajdi (depan, tengah) bersama pimpinan UMNO Bahagian Alor Setar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan di Dewan MBAS hari ini.
Dr Asyraf Wajdi (depan, tengah) bersama pimpinan UMNO Bahagian Alor Setar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan di Dewan MBAS hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan pertubuhan Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) berhasrat mengadakan himpunan membantah penambahan seni khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular adalah tidak wajar, selain dilihat bersikap cauvinis dan rasis.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lebih baik sekiranya kumpulan terbabit mengadakan perbincangan secara tertutup dengan kerajaan, berbanding mengadakan provokasi dengan menganjurkan himpunan.

"Saya berharap mereka membatalkan sahaja himpunan itu kerana bimbang akan cetuskan reaksi balas daripada orang Melayu jika himpunan itu diteruskan.

“Tidak mustahil orang Melayu bangkit mempertahankan tulisan jawi yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan Perlembagaan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini.

Asyraf Wajdi tuurt menasihatkan Dong Jiao Zong supaya tidak ‘mencurah minyak ke dalam api’ dan membakar sentimen perkauman.

“Tulisan jawi ialah sebahagian daripada orang Melayu dan sejarah, malah dalam Ringgit Malaysia turut tertera tulisan jawi. Sepatutnya mereka dan DAP gunakan jalan perundingan tertutup kerana mereka kini kerajaan.

“Mereka berani kerana DAP menjadi tulang belakang, seramai 138 pemimpin DAP termasuk 13 ADUN parti itu secara terang-terangan bagi sokongan mendesak supaya polisi itu ditarik balik,” katanya.

Pertubuhan Dong Jiao Zong akan menganjurkan himpunan bagi membantah penambahan seni khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Himpunan itu akan diadakan di Ibu Pejabat Dong Jiao Zong di Jalan Bukit, Kajang, Isnin ini dan dijangka dihadiri lebih 10 organisasi pendidikan Cina dan Tamil di negara ini.